KUALA LUMPUR: Malaysia menasihatkan rakyatnya yang diuji positif bagi koronavirus tetapi tidak ada gejala Covid-19 supaya mengasingkan diri di rumah dahulu, sedang kes melibatkan pekerja asing di negara itu meningkat.
Pesakit asimptomatik ini harus terus berhubungan dengan pejabat kesihatan daerah mereka.
Pengarah Agung Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pesakit berkenaan mungkin tidak akan dihantar ke hospital kerana sistem jagaan kesihatan sudah sesak.
Beliau ditukil oleh portal berita dalam talian Malay Mail semalam.
Malaysia sedang bergelut dengan isu logistik seperti membawa orang ramai ke hospital dan jumlah tinggi pekerja asing yang telah diuji dan didapati dijangkiti Covid-19.
"Kami sedang menyaksikan lebih 1,000 kes sehari. Ini kerana ujian ditingkatkan dalam kalangan pekerja asing, dan kami menjangkakan lebih banyak kes," kata Tan Sri Dr Noor Hisham.
"Pekerja asing tidak ada tempat untuk diasingkan... kami mempunyai ribuan di sini.
"Kami akan menambah jumlah katil hospital kepada 10,000."
Penguatkuasaan ujian Covid-19 mandatori untuk pekerja asing akan bermula pada 1 Januari, tetapi hanya bagi enam negeri berisiko tinggi dan wilayah persekutuan, kata Menteri Sumber Manusia M. Saravanan, lapor The Star.
Negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Penang, Sabah, bersama wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.
Ia melibatkan sekitar 800,000 pekerja asing.
Bagi negeri lain, ujian beramai-ramai ke atas pekerja asing akan bermula selepas Februari tahun depan.
Datuk Seri Saravanan berkata kelmarin bahawa 68,460 pekerja asing, melibatkan 2,385 majikan, telah diuji, menurut The Star.
Pihak berkuasa memeriksa dengan aktif tempat penginapan pekerja asing sejak beberapa minggu lalu dan mengenakan denda ke atas syarikat, termasuk pembuat sarung tangan, yang menempatkan pendatang asing dalam keadaan teruk dan sesak, yang merupakan antara punca penularan Covid-19.
Malaysia mencatat 1,196 jangkitan baru Covid-19 kelmarin, lapor Malay Mail.
Buat masa ini, ia mempunyai 20,233 kes aktif Covid-19.
Pada Sabtu lalu, Malaysia mencatat jumlah kes harian tertinggi sejak permulaan pandemik, iaitu sebanyak 2,335 jangkitan.
Kuala Lumpur mempunyai jumlah tertinggi - 728 kes, iaitu 31.2 peratus daripada jangkitan baru.
Ini disusuli oleh Selangor sebanyak 710 kes dan Johor, 412 kes.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan telah menggandakan jumlah katil di sebuah pusat kuarantin kerajaan dan rawatan di Serdang di Selangor, kepada lebih 6,000 disebabkan kes Covid-19 yang meningkat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg