Rakyat Palestin gesa masyarakat dunia sertai mogok tuntut gencatan senjata
Rakyat Palestin gesa masyarakat dunia sertai mogok tuntut gencatan senjata
GAZA: Aktivis Palestin dan pertubuhan akar umbi menggesa mogok global pada 11 Disember menuntut gencatan senjata segera ketika pencerobohan Israel berterusan di Jaluran Gaza.
Seruan itu dibuat oleh Pasukan Kebangsaan dan Islam, pakatan yang menggabungkan puak utama Palestin, Penduduk Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel dan penyokong di seluruh dunia digesa supaya menyertai mogok itu.
“Kami berharap seluruh dunia akan menyertai mogok ini yang diadakan dalam konteks pergerakan antarabangsa yang lebih luas dan melibatkan orang berpengaruh,” kata satu kenyataan pakatan itu sambil menambah bahawa mereka menentang pembunuhan beramai-ramai secara terbuka di Gaza, pembunuhan etnik dan petempatan penceroboh di Tebing Barat.
Mogok itu juga menentang usaha untuk melemahkan kepentingan nasional rakyat Palestin, tambah kenyataan itu.
Pakatan itu turut menyeru orang ramai di seluruh dunia untuk bersama-sama menghantar mesej solidariti kepada wanita, kanak-kanak dan warga tua mangsa pengeboman kejam Israel ke atas Gaza, yang setakat ini telah membunuh hampir 18,000 orang termasuk 297 kematian dalam 24 jam terakhir dan mencederakan 49,500 lagi dalam masa dua bulan sahaja.
Sebagai tindak balas kepada seruan itu, LBCI News Lebanon melaporkan pada 10 Disember bahawa semua pejabat pemerintah, sekolah rendah dan menengah, serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta akan mengadakan mogok umum bagi menyokong “seruan global ke Gaza”.
Semakin ramai aktivis di seluruh dunia turut menyiarkan di media sosial seruan kepada orang ramai supaya menyertai mogok global itu.
Encik Muwafaq Sahwil, setiausaha parti politik Fatah di Ramallah dan al-Bireh, berkata seruan diadakan mogok oleh rakyat Palestin, aktivis kesatuan sekerja dan pengaruh antarabangsa, adalah protes terhadap veto Amerika Syarikat pada 8 Disember yang menolak ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Ini adalah mesej kepada pentadbiran Amerika yang menentang kehendak rakyat kita, kata Encik Muwafaq sambil menambah ia juga merupakan mesej daripada orang ramai di seluruh dunia kepada ahli politik mereka dan masyarakat antarabangsa supaya membela rakyat Palestin. – Agensi berita.

