GAZA: Ketika rakyat Israel keluar mengundi untuk menentukan pemerintah baru, penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat hanya mampu memerhatikan perkembangan itu dengan penuh keraguan, mempersoalkan sama ada perubahan kepimpinan Israel benar-benar dapat menamatkan penderitaan mereka.

Bagi rakyat Palestin yang telah bertahun-tahun hidup dalam peperangan, kehilangan tempat tinggal dan sekatan pergerakan, persoalan utama bukan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri Israel, tetapi sama ada pemerintah baru mampu membawa keamanan dan memperbaiki kehidupan mereka.

Pilihan raya Parlimen Israel pada 27 Oktober berlangsung ketika Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berdepan tentangan sengit daripada blok pembangkang yang diterajui bekas Ketua Turus Tentera Israel, Encik Gadi Eisenkot.

Namun, bagi penduduk Gaza, pertukaran pemerintah belum tentu membawa perubahan terhadap dasar Israel, khususnya berkaitan bantuan kemanusiaan, pembinaan semula wilayah itu dan masa depan negara Palestin.

Di Gaza, kemusnahan besar akibat peperangan yang berlarutan lebih tiga tahun terus memaksa ramai penduduk tinggal di khemah sementara, dengan bekalan makanan, air bersih dan keperluan asas semakin sukar diperoleh.

Cik Manar Owaida, 23 tahun, yang berasal dari utara Gaza dan kini berlindung di kawasan Tal al-Hawa, Bandar Gaza, turut mengikuti perkembangan pilihan raya Israel bagi memahami kemungkinan kesannya terhadap kehidupan penduduk Palestin.

“Saya mengikuti pilihan raya ini untuk mengetahui apa yang diperkatakan dan dirancang oleh pemimpin Israel, serta memahami perkembangan di sekeliling kami dan bagaimana pemerintah Israel yang baru mungkin mempengaruhi keadaan di Gaza,” katanya.

Bagi Cik Manar, keputusan pilihan raya itu penting kerana dasar pemerintah Israel yang bakal dibentuk boleh memberi kesan langsung terhadap keselamatan dan masa depan penduduk Gaza yang masih bergelut dengan kemusnahan akibat peperangan.

Encik Omar Nabhan, 35 tahun, bapa dua anak yang kehilangan tempat tinggal selepas melarikan diri dari kem pelarian Jabalia di utara Gaza, kini menetap di sebuah khemah di barat Bandar Gaza.

Menurut beliau, keluarganya tidak lagi terlalu memikirkan perkembangan politik Israel kerana keutamaan mereka ialah mendapatkan makanan, tempat perlindungan dan keselamatan.

“Kami hidup dalam keadaan amat sukar. Kami terpaksa meninggalkan rumah dan melarikan diri, tetapi sehingga sekarang tidak tahu bila dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya kepada agensi berita Xinhua.

Beliau berkata kebimbangan terbesar keluarganya ialah kemungkinan serangan berulang yang boleh memaksa mereka berpindah sekali lagi.

“Apa yang kami fikirkan sekarang hanyalah bagaimana menyediakan makanan, tempat tinggal dan keselamatan untuk anak-anak, tanpa perlu sentiasa takut kepada serangan bom atau terpaksa melarikan diri lagi,” katanya.

Walaupun berharap pilihan raya Israel dapat membawa pemimpin yang lebih bersedia memperbaiki keadaan di Gaza, Encik Omar tidak yakin perubahan politik akan segera mengubah kehidupan penduduk Palestin.

“Bagi kami, nama pemimpin tidak begitu penting. Yang penting ialah hasil dan perubahan sebenar terhadap kehidupan kami,” katanya.

Seorang lagi penduduk Gaza, Encik Fawzi al-Hajj Ahmed, 50 tahun, yang kini berlindung di Deir al-Balah bersama lima anaknya, berkata peningkatan harga makanan dan kemerosotan ekonomi terus membebankan keluarga yang kehilangan sumber pendapatan.

Menurut beliau, ramai penduduk bukan sahaja kehilangan rumah, malah pekerjaan dan anggota keluarga akibat peperangan.

“Rakyat sudah terlalu letih dengan peperangan, perpindahan dan penantian yang panjang. Ada yang kehilangan rumah, ada yang kehilangan mata pencarian, malah ada yang kehilangan ahli keluarga.

“Kami tidak mahu janji politik. Kami mahu melihat perubahan sebenar dalam kehidupan,” katanya.

Bagi penduduk Gaza, keutamaan mereka ialah penghentian serangan, kemasukan bantuan kemanusiaan secara berterusan serta usaha membina semula rumah, sekolah dan hospital yang musnah.

Di Tebing Barat pula, penduduk Palestin berdepan peluasan petempatan Israel, keganasan penduduk haram Yahudi, operasi ketenteraan dan sekatan pergerakan yang menjejaskan kehidupan harian.

Encik Sulaiman al-Jabari, 38 tahun, dari Hebron, berkata operasi tentera Israel yang bermula pada 23 Oktober selepas dua anggota tentera Israel terbunuh telah mengganggu kehidupan penduduk, termasuk pekerja, peniaga dan pelajar.

“Penduduk hanya mahu hidup dengan selamat, pergi bekerja dan bersekolah tanpa rasa takut atau sekatan,” katanya kepada Xinhua.

Beliau turut meragui sama ada keputusan pilihan raya Israel akan membawa perubahan besar terhadap keadaan di Tebing Barat.

“Kami mahu operasi tentera dan pencerobohan dihentikan serta sekatan yang mengganggu kehidupan kami ditarik balik,” katanya.

Lebih membimbangkan, penduduk Palestin di Tebing Barat tidak mempunyai hak mengundi dalam pilihan raya Israel walaupun banyak aspek kehidupan mereka dikawal oleh pemerintah negara itu.

Encik Montaser Amro, 32 tahun, pemilik pasar raya di Majd, sebuah kampung berhampiran Hebron, mempersoalkan keadaan tersebut.

“Pemerintah Israel mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap kehidupan kami. Mereka menentukan bila sekatan jalan raya dibuka atau ditutup, mengawal sempadan dan kegiatan ekonomi kami.

“Mengapa kami tidak boleh mengundi sedangkan pendatang Yahudi yang tinggal hanya beberapa ratus meter dari sini mempunyai hak tersebut?” soalnya.

Seorang lagi penduduk Hebron, Encik Alaa al-Khabass, 40 tahun, menyifatkan keadaan itu sebagai tidak adil.

“Israel mengawal hampir segala-galanya dalam kehidupan kami. Kami sepatutnya mempunyai hak mengundi, tetapi hakikatnya kami hidup tanpa hak dan kedaulatan,” katanya.

Penganalisis politik yang mengkhusus dalam hal ehwal Israel, Encik Ahed Ferwana, berkata keputusan pilihan raya itu akan memberi kesan langsung kepada penduduk Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur.

Menurut beliau, sekiranya Encik Netanyahu terus memerintah, konflik di Gaza dan operasi ketenteraan Israel di Tebing Barat berkemungkinan berlarutan.

Beliau merujuk kepada perpindahan penduduk dari kem pelarian di utara Tebing Barat serta operasi tentera Israel di Hebron sebagai antara perkembangan yang membimbangkan.

Sebaliknya, jika pembangkang pimpinan Encik Eisenkot membentuk pemerintah Encik Ferwana berpendapat pentadbiran baru mungkin lebih cenderung menyokong rancangan damai Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, selain berusaha memulihkan imej Israel di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangkakan perubahan dasar yang besar memihak kepada rakyat Palestin kerana pemerintah baru juga dijangka terus menolak pembentukan negara Palestin yang merdeka.

Israel menduduki Tebing Barat sejak perang 1967, manakala Penguasa Palestin (PA), yang ditubuhkan hasil perjanjian damai pada 1990-an, hanya mentadbir sebahagian wilayah tersebut.

PA juga tidak mengadakan pilihan raya Presiden atau Parlimen sejak kira-kira dua dekad lalu.

Keadaan itu, ditambah peluasan petempatan Israel dan perpecahan politik Palestin, semakin melemahkan harapan terhadap pembentukan sebuah negara merdeka.

Bagi rakyat Palestin, keputusan pilihan raya Israel mungkin menentukan siapa yang memerintah negara itu, tetapi persoalan lebih besar ialah sama ada pemimpin baru benar-benar bersedia menamatkan pendudukan, menghentikan keganasan dan membuka laluan kepada keamanan.

Tanpa perubahan nyata terhadap kehidupan mereka, pertukaran pemerintah di Israel hanya dilihat sebagai perubahan kepimpinan, bukan perubahan nasib rakyat Palestin. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti