Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat Sri Lanka tunjuk perasaan bantah tarif elektrik naik 264%

Aug 11, 2022 | 5:30 AM
MAHUKAN PEMULIHAN EKONOMI: Sebulan berlalu setelah Presiden Gotabaya Rajapaksa melarikan diri dan meletak jawatan, rakyat Sri Lanka mengadakan tunjuk perasaan kelmarin menuntut supaya segera dipulihkan ekonomi negara itu yang kini semakin parah. - Foto REUTERS
MAHUKAN PEMULIHAN EKONOMI: Sebulan berlalu setelah Presiden Gotabaya Rajapaksa melarikan diri dan meletak jawatan, rakyat Sri Lanka mengadakan tunjuk perasaan kelmarin menuntut supaya segera dipulihkan ekonomi negara itu yang kini semakin parah. - Foto REUTERS -

COLOMBO: Sri Lanka terus dilanda kekacauan dengan beberapa tunjuk perasaan terbaru berlaku di ibu kota negara itu, membantah pentadbiran yang tidak berupaya mengatasi kemelut ekonomi dan langkah-langkah yang menekan rakyatnya.

Baru-baru ini pula, tarif penggunaan elektrik dinaikkan sebanyak 264 peratus bagi penggunaan yang rendah, sementara kenaikan 80 peratus dikenakan kepada penggunaan elektrik yang tinggi.

Lembaga Elektrik Ceylon (CEB) yang mengalami kerugian, berkata pihaknya telah mendapat kelulusan daripada penguasa untuk menaikkan kadar bayaran setinggi itu.

Kenaikan tersebut adalah yang pertama dibuat dalam masa sembilan tahun dan berkuat kuasa semalam.

Ia juga adalah untuk menutupi kerugian yang dialaminya selama ini yang berjumlah AS$616 juta (kira-kira $849 juta).

CEB telah meminta kenaikan yang lebih tinggi iaitu itu lebih 800 peratus.

Tetapi, permohonannya tidak diluluskan dan hanya dibenarkan sebanyak 264 peratus, menurut pegawai-pegawai.

Sekitar dua pertiga daripada sejumlah 7.8 juta keluarga yang menggunakan kurang daripada 90 kilowat sebulan, terjejas dengan kenaikan yang tinggi itu.

Penggunaan rendah dikenakan bayaran 2.50 rupee seunit dan sekarang harus membayar 8 rupee.

Penggunaan tinggi yang membayar 45 rupee kini harus membayar 75 rupee seunit (kira-kira $0.20).

Sri Lanka mengalami krisis ekonomi paling buruk setelah kehabisan simpanan tukaran asing hingga tidak mampu membiayai import barangan keperluan seperti makanan dan ubat-ubatan.

Inflasi memburukkan lagi keadaan dan bekalan elektrik sering terputus buat jangka masa yang panjang.

CEB tidak berupaya membeli minyak untuk kegunaan generator.

Pemerintah pula, setelah gagal membayar semula hutang luar negara berjumlah AS$51 bilion, terpaksa menyerah dan pada April lalu meminta bantuan daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Sementara itu, dalam satu perkembangan terbaru, mantan presiden Sri Lanka, Encik Gotabaya Rajapaksa, dijangka tiba di Thailand hari ini untuk mendapatkan perlindungan sementara.

Thailand merupakan negara kedua di Asia Tenggara yang didatangi oleh Encik Rajapaksa setelah melarikan diri dari Sri Lanka bulan lalu, menurut dua sumber.

Encik Rajapaksa datang ke Singapura pada 14 Julai lalu, dari Maldives, ekoran kekacauan dan tunjuk-tunjuk perasaan gara-gara krisis ekonomi di negara itu. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg