Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

TIMUR TENGAH

Rakyat Syria kurang dapat bantuan kemanusiaan angkara perang saudara

Feb 21, 2023 | 05:30 AM



PERMUSUHAN yang telah memecah-belahkan Syria akibat perang saudara selama 12 tahun di negara itu telah merumitkan usaha penghantaran bantuan kepada rakyat negara itu, yang terjejas teruk akibat gempa bumi yang melanda di wilayah utaranya pada 6 Februari lalu.



Kawasan itu kurang menerima bantuan berbanding kawasan yang dikuasai pemerintah Syria, apatah lagi kawasan negara jiran Turkey yang mendapat perhatian dunia.



Di Turkey, banyak kenderaan berat dilihat bukan sahaja menjalankan kerja menyelamat dan mencari, bahkan banyak yang membawa bekalan makanan, selimut dan ubat ke dalam zon bencana gempa bumi.



Sebaliknya, di seberang sempadan di barat laut Syria, penduduk seperti di bandar Jinderis hanya mampu mendengar jeritan mangsa terperangkap di bawah runtuhan.



Tanpa jentera dan peralatan yang sesuai, penduduk tidak berdaya menyelamatkan mereka.



LAMA MENANTI



Selepas gempa berlaku pada 6 Februari di wilayah barat laut Syria, selama lima hari penduduk di bandar Jinderis menunggu bantuan. Namun tiada siapa yang datang membantu.



"Kami tidak faham. Mengapa kami bersendirian?" tanya Encik Mahmoud Hafar, mayor bandar itu.



Tiada pasukan penyelamat antarabangsa; tiada trak yang dimuatkan dengan jentera atau bantuan perubatan dan makanan; tiada ambulans untuk menyelamatkan mangsa yang cedera. Kawasan di bandar itu kosong dan senyap.



KECEWAKAN RAKYAT SYRIA



"Kita setakat ini telah mengecewakan rakyat di barat laut Syria," kata ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Martin Griffiths.



"Mereka betul-betul berasa dibiarkan begitu sahaja."



Amerika Syarikat menyeru pemerintah Syria dan semua pihak yang bertelingkah di negara itu agar segera memberi akses kemanusiaan kepada mangsa gempa yang memerlukan bantuan.



"Semua bantuan kemanusiaan mesti dibenarkan bergerak melalui semua lintasan sempadan, dan pengagihan bantuan mesti dibenarkan ke semua kawasan terjejas tanpa lengah," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih.



Kawasan yang terjejas oleh gempa di barat laut Syria dikawal beberapa kumpulan penentang pemerintah Syria termasuk kumpulan tegar Hayat Tahrir al-Sham (HTS).



Seorang jurucakap HTS di Idlib berkata mereka tidak akan membenarkan penghantaran bantuan dari kawasan yang dikuasai pemerintah Presiden Bashar al-Assad, dan bantuan hanya dibenarkan datang dari Turkey di utara.



"Kami tidak akan membenarkan rejim Syria mengambil kesempatan daripada keadaan ini untuk menunjukkan bahawa mereka membantu," kata jurucakap itu.



TINGKATKAN LALUAN BANTUAN



PBB kini telah dapat meningkatkan operasi bantuan rentas sempadan dengan terbukanya lebih banyak pusat sempadan antara Turkey dengan Syria, kata jurucakap pertubuhan dunia itu, Encik Jens Laerke.



Sebelum ini, konvoi bantuan PBB yang menyeberang ke barat laut Syria hanya dapat melalui lintasan sempadan Bab al-Hawa.



Encik Assad baru sahaja memberi persetujuan membenarkan penghantaran bantuan PBB ke kawasan Syria yang dikuasai pembangkang melalui dua lagi lintasan sempadan dari Turkey selama tempoh tiga bulan, kata Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres.



"Memandangkan jumlah korban gempa bumi 6 Februari terus meningkat, penghantaran makanan, kesihatan, perlindungan, tempat tinggal, keperluan musim sejuk dan bekalan bagi menyelamatkan nyawa serta jutaan mangsa yang terjejas adalah amat mendesak.



"Membuka lebih banyak pusat sempadan - seiring mempermudah akses kemanusiaan, mempercepatkan kelulusan visa dan memudahkan perjalanan antara hab - akan membolehkan lebih banyak bantuan masuk, seberapa segera," ujar Encik Guterres.



BENCANA BERGANDA



Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata Syria berdepan bukan sahaja konflik perang saudara sejak 12 tahun lalu, Covid-19, dan kemerosotan ekonomi, bahkan kini gempa yang telah meragut bilangan korban yang besar.



Utusan PBB ke Syria, Encik Geir Pedersen, berkata:



"Kami memerlukan semua akses yang boleh kami dapat untuk merentas sempadan dengan cepat, dan kami perlukan lebih banyak sumber.



"Kami sudah cuba memberitahu semua pihak untuk mengetepikan politik, dan ini adalah masa untuk bersatu di sebalik usaha menyokong rakyat Syria yang teruk terjejas."



Encik Guterres mengumumkan pelancaran rayuan bantuan kemanusiaan A$397 juta ($529 juta) buat Syria meliputi tempoh tiga bulan.



Beliau berkata rayuan serupa bakal diumumkan bagi Turkey, sedang PBB mengeluarkan AS$50 juta daripada dana kecemasannya bagi bantuan gempa di Syria dan berkata dana itu akan disalurkan kepada bantuan seperti barangan tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan makanan.



Sehingga Khamis, jumlah kematian akibat gempa bumi di Turkey dan Syria menghampiri 40,000 orang.



Sebelum berlakunya gempa terbaru, hampir dua juta rakyat Syria telah kehilangan tempat tinggal akibat perang saudara di negara itu dan tinggal di kem pelarian di kawasan barat daya negara itu.




"Kami memerlukan semua akses yang boleh kami dapat untuk merentas sempadan dengan cepat, dan kami perlukan lebih banyak sumber.



Kami sudah cuba memberitahu semua pihak untuk mengetepikan politik, dan ini adalah masa untuk bersatu di sebalik usaha untuk menyokong rakyat Syria yang teruk terjejas."



- Utusan PBB ke Syria, Encik Geir Pedersen. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >