IZIUM (Ukraine): Penduduk di bandar Izium, Ukraine, mula mencari saudara mara yang dilaporkan mati di tapak perkuburan besar di wilayah yang ditawan semula daripada tentera Russia, dekat timur laut Ukraine. Ada mangsa ditemui dengan tangan terikat ke belakang, dengan beberapa menunjukkan tanda diseksa. Beberapa lelaki dilihat menggali tapak yang terletak di dalam hutan, yang menempatkan kira-kira 200 salib kayu sementara, bertaburan di antara pokok dengan hampir 20 beg mayat putih dilihat. Pihak berkuasa Ukraine menemui kubur besar dengan lebih 450 mayat di bandar timur laut itu yang baru-baru ini ditawan semula daripada tentera Russia. Mendedahkan penemuan itu, seorang pegawai polis wilayah memaklumkan terdapat mangsa tembakan dan serangan udara. Kesatuan Eropah (EU) menggesa pembentukan tribunal antarabangsa bagi jenayah perang terhadap Russia berikutan penemuan kubur besar baru di Ukraine. Menteri Luar Republik Czech, yang memegang jawatan secara giliran Presiden EU, Encik Jan Lipavsky, berkata pada abad ke-21, serangan seperti itu terhadap orang awam adalah sesuatu yang di luar pemikiran dan menjijikkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg