Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ramai penduduk India terpaksa gadai emas perhiasan

Nov 20, 2021 | 5:30 AM
TERPAKSA JUAL EMAS: Emas mempunyai kepentingan kewangan dan budaya yang besar di India. Ia dianggap penting dalam majlis perkahwinan, ulang tahun dan upacara keagamaan serta sebagai aset selamat yang boleh dipindahkan dari satu generasi ke generasi berikutnya. - Foto AFP
TERPAKSA JUAL EMAS: Emas mempunyai kepentingan kewangan dan budaya yang besar di India. Ia dianggap penting dalam majlis perkahwinan, ulang tahun dan upacara keagamaan serta sebagai aset selamat yang boleh dipindahkan dari satu generasi ke generasi berikutnya. - Foto AFP -

WABAK Covid-19 telah memaksa ramai penduduk India untuk menjual barangan yang paling mereka hargai - emas.

Ini demi membantu mereka mencari wang untuk membeli makanan buat keluarga.

Bertempat di bazar perhiasan di Mumbai, seorang ahli perniagaan, Cik Kavita Jogani, menggadaikan gelang perkahwinannya dan menyertai ribuan penduduk lain yang terpaksa melepaskan emas mereka.

Cik Jogani terpaksa mengambil tindakan demikian selepas putus asa, ekoran perniagaan pakaiannya terjejas teruk sejak lebih setahun lalu disebabkan langkah sekatan bagi mengekang penularan Covid-19, menyebabkannya sukar untuk membayar bil kedai dan gaji 15 pekerjanya.

"Saya tidak mempunyai pilihan lain selain menjual emas itu. Saya membeli gelang ini sebelum perkahwinan 23 tahun lalu," kata wanita berusia 45 tahun itu ketika ditemui AFP.

Cik Jogani terpaksa menjual lapan gelang, kalung kecil serta beberapa cincin, untuk mendapatkan wang tunai berjumlah 200,000 rupee ($3,590).

Penutupan perniagaan dan kehilangan pekerjaan mendorong lebih 230 juta penduduk India bergelut dengan kemiskinan tahun lalu, menurut satu kajian oleh Universiti Azim Premji, menyebabkan ramai bergelut untuk membayar sewa, yuran sekolah dan bil hospital.

Kesukaran mereka meningkat beberapa minggu lalu ini ekoran kenaikan harga elektrik, bahan bakar dan barang keperluan lain.

Ramai keluarga dan perniagaan kecil mula mengumpulkan barangan emas mereka, sebagai pilihan terakhir serta jaminan untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek.

Bank sudah mengeluarkan pinjaman terhadap barang kemas bernilai 4.71 trilion rupee dalam lapan bulan pertama tahun ini, melonjak 74 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya, menurut data bank pusat.

Emas mempunyai kepentingan kewangan dan budaya yang besar di India.

Ia dianggap penting dalam majlis perkahwinan, ulang tahun dan upacara keagamaan serta sebagai aset selamat yang boleh dipindahkan dari satu generasi ke generasi berikutnya.

Pengarah Majlis Barangan Perhiasan dan Permata Tempatan India, Encik Dinesh Jain, berkata tindakan itu terpaksa diambil memandangkan emas satu-satunya jaminan sosial bagi wanita atau rumah tangganya, ekoran tiada program jaminan sosial daripada pemerintah.

"Emas seperti tunai yang dicairkan. Kamu boleh mencairkannya bila-bila masa saja, siang dan malam," katanya.

Peniaga, Encik Kumar Jain, 63 tahun, yang mengusahakan sebuah kedai warisan keluarganya di Zaveri Bazaar, Mumbai, yang berusia 106 tahun, memberitahu AFP bahawa beliau tidak pernah melihat begitu ramai orang datang untuk menjual emas.

"Tidak seperti sebelum pandemik. Paling memilukan adalah ketika mereka menjual 'mangalsutra' (kalung perkahwinan) mereka sendiri," katanya.

Cik Jogani berkata:

"Sebelum ini, saya selalu abaikan perkara ini apabila ibu saya pernah memberitahu saya bahawa 'anda perlu menyimpan emas'.

"Tapi sekarang saya... tahu. Semua orang patut simpan emas."

"Tidak seperti sebelum pandemik. Paling memilukan adalah ketika mereka menjual 'mangalsutra' (kalung perkahwinan) mereka sendiri." - Encik Kumar Jain, peniaga yang mengusahakan sebuah kedai warisan keluarganya di Zaveri Bazaar, Mumbai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg