Topik diikuti
Pergi ke BHkuRang antilompat parti akan dibentang di Parlimen M'sia

Rang antilompat parti akan dibentang di Parlimen M'sia
PETALING JAYA: Selepas beberapa bulan perbincangan, saranan rang undang-undang antilompat parti akan dibentangkan di Parlimen Malaysia pada bulan depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata beliau secara peribadi menetapkan sasaran rang itu dibawa ke Parlimen pada Mac ini.
Namun, katanya, ia bukan kerana Pakatan Harapan (PH) mengancam menarik balik sokongan kepada kerajaan sekiranya saranan itu tidak dilaksanakan.
"Kami telah bekerja keras untuk memuktamadkan beberapa isu dasar berkaitan undang-undang yang dicadangkan itu supaya Jabatan Peguam Negara boleh mula merangka Rang Undang-Undang itu.
"Walaupun ada pihak yang mahu rang itu dibentangkan pada Julai, saya secara peribadi mahu ia dilakukan pada Mac," katanya kepada The Star.
Beliau berkata beberapa sesi perbincangan telah diadakan untuk mengumpul maklum balas daripada pihak berkepentingan.
"Satu jawatankuasa teknikal dwipartisan juga telah ditubuhkan baru-baru ini untuk menyelesaikan isu seperti takrifan lompat parti.
"Selain itu, terdapat keperluan untuk meminda Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, yang pada masa ini membenarkan kebebasan berpersatuan," katanya, sambil menambah, pertimbangan teliti diperlukan untuk memastikan undang-undang yang dicadangkan itu tidak mengandungi sebarang kelemahan.
Datuk Wan Junaidi berkata beliau akan bertemu dengan pemimpin parti politik tidak lama lagi untuk mendapatkan maklum balas lanjut.
"Saya akan mengeluarkan undangan mesyuarat dan terpulang kepada mereka untuk hadir kerana saya tidak boleh memaksa mereka berbuat demikian.
"Ini termasuk membuat lawatan ke Sarawak dan Sabah untuk bertemu pemimpin di sana," katanya.
Kebanyakan penggubal undang-undang telah menunjukkan sokongan kepada undang-undang anti-lompat parti walaupun ada yang terus berdiam diri, katanya.
Memorandum persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani kerajaan semasa dan PH pada 13 September 2021, antara lain bersetuju melakukan transformasi melibatkan pelan pemulihan Covid-19, pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
MOU itu menggariskan pembaharuan yang perlu dilakukan kerajaan, dengan PH memberi jaminan tidak akan mendesak pilihan raya umum ke-15 diadakan sebelum 31 Julai ini.
Baru-baru ini, Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sekiranya rang itu tidak diluluskan pada sesi Parlimen Mac ini, MOU tersebut tidak akan diteruskan.
Ini bermakna PH akan menarik balik sokongannya daripada kerajaan sedia ada.
Datuk Wan Junaidi menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob, sendiri mahu rang itu dibentangkan di Parlimen.