Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Rang dasar pertahanan: Dewan undi tolak veto Trump

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

Rang dasar pertahanan: Dewan undi tolak veto Trump

Dec 30, 2020 | 05:30 AM

WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat mengundi untuk mengatasi veto rang undang-undang dasar pertahanan bernilai AS$740 bilion ($983 billion) oleh presiden Donald Trump.

Dewan tersebut memilih langkah sebegitu barangkali sebagai tindak balas terhadap tindakan Encik Trump memecahbelahkan parti Republikan pada saat-saat akhir pimpinannya.

Dalam pengundian itu, seramai 109 anggota parti Republikan mengundi menolak kuasa veto Encik Trump.

Pengundian akhir dijangka diadakan minggu ini.

Kalau Senat menyokong undian Dewan Perwakilan, hal ini bermakna mereka berjaya mengatasi kuasa veto Encik Trump buat julung-julung kalinya dalam sejarah kepimpinannya.

Rabu lalu, Encik Trump telah menggunakan kuasa veto untuk menolak rang undang-undang berkaitan pertahanan itu bahkan meningkatkan kemungkinan pemerintah diarah berhenti bekerja dalam tempoh pandemik sekarang.

Beliau sebenarnya marah kerana beberapa tokoh Republikan mengakui kekalahannya menentang Encik Joe Biden, Presiden Dipilih Amerika, pada Pilihan Raya Presiden pada bulan lalu.

Encik Biden akan menjalani upacara angkat sumpah di Capitol, Washington DC, sebagai presiden pada 20 Januari ini.

Justeru Encik Trump berusaha membentuk semula dua undang-undang yang diluluskan Kongres hasil perbincangan selama berbulan-bulan lamanya.

Encik Trump mengarahkan perubahan besar dilakukan terhadap pakej bernilai AS$2.3 trilion yang membiayai pemerintah federal dan menyediakan bantuan mengharungi pandemik koronavirus bernilai hampir $900 bilion.

Sekiranya Encik Trump berjaya menolak pakej demikian, sebahagian besar pemerintahan Amerika akan berhenti kerja minggu depan akibat kekurangan biaya.

Buat masa ini, pegawai pemerintahan giat mengedarkan vaksin dan menangani serangan penggodam besar-besaran.

Di samping itu, rang tersebut menghuraikan pelbagai isu berkaitan dasar pertahanan negara dan kenaikan gaji askar.

Menurut Encik Trump, beliau menolak rang undang-undang tersebut kerana mahu menghapuskan perlindungan ke atas syarikat media sosial - yang tiada kaitan dengan isu keselamatan negara.

Speaker Nancy Pelosi menyambut baik langkah yang disifatkannya itu sebagai "undian dwipartisan luar biasa" untuk mengatasi veto Encik Trump. Beliau juga menjangkakan bahawa rang undang-undang akan lulus jua sungguhpun menghadapi "usaha sabotaj berbahaya" daripada presiden.

"Presiden sewajarnya menamatkan usaha mengucar-ngacirkan keadaan ini dan berhenti menggunakan saat-saat terakhir menyandang jawatan ini untuk menghalang ciri dwipartisan demi melindungi tentera serta menjaga keamanan negara," ujar Cik Pelosi dalam satu kenyataan.

Wakil Demokrat Steny Hoyer berkata bahawa beliau percaya Senat akan menyokong tindakan Dewan Perwakilan menolak veto Encik Trump.

Seramai 20 wakil Demokrat, termasuk tokoh masyhur Alexandria Ocasio-Cortez, mengundi mengatasi veto tersebut.

Salah seorang wakil utama Republikan Mac Thornberry dalam pada itu menggalak partinya supaya tidak menyebelahi presiden.

"Dunia sedang menyaksikan tindakan kita.

"Saya hanya meminta anggota perwakilan supaya memikirkan kepentingan negara terlebih dahulu semasa mengundi. Pertimbangan lain tidak harus dikira," ujar wakil dari Texas itu. - Reuters.


"Presiden sewajarnya menamatkan usaha mengucar-ngacirkan keadaan ini dan berhenti menggunakan saat-saat terakhir menyandang jawatan ini untuk menghalang ciri dwipartisan demi melindungi tentera serta menjaga keamanan negara."
- Speaker Nancy Pelosi.

"Dunia sedang menyaksikan tindakan kita. Saya hanya meminta anggota perwakilan supaya memikirkan kepentingan negara terlebih dahulu semasa mengundi. Pertimbangan lain tidak harus dikira."
- Wakil utama Republikan, Mac Thornberry dari Texas.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3