Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

INDONESIA

Rasuah: Taikun dihukum penjara 15 tahun, denda rekod $3.71b

Mar 02, 2023 | 05:30 AM



JAKARTA: Mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda tertinggi Rp41.9 trilion ($3.71 bilion) ke atas seorang ahli perniagaan kelapa sawit, Surya Darmadi, kali pertama denda bagi rasuah ditentukan berdasarkan kerugian ekonomi, selain daripada kerugian kepada negara.



Pemilik kumpulan Duta Palma itu disabitkan dengan kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.



Dia didapati menyogok pegawai di Sumatera agar membenarkan syarikatnya menanam pokok kelapa sawit di tanah yang asalnya diisytihar sebagai hutan semula jadi, dan di atas tanah yang syarikatnya tiada permit untuk menanam. Jumlah keluasan tanah terlibat lebih 36,000 hektar.



Surya, 71 tahun, diarah membayar Rp2.2 trilion kerana menyebabkan kerugian daripada potensi cukai dan pendapatan lain yang boleh diterima pemerintah daripada syarikat perladangan dengan permitw sesuai.



Dia juga diarah membayar Rp39.7 trilion bagi kerugian ekonomi akibat tindakannya, menurut keputusan pada 23 Februari itu.



Pendakwa raya negeri beberapa kali meminta mahkamah agar defendan dihukum dengan denda akibat kerugian ekonomi, tetapi hakim menolak berbuat demikian atas alasan sukar menganggarkan kerugian itu dengan keraguan yang minimum.



Kes Surya bermula pada 2014 apabila pihak berkuasa menemui jejak wang daripadanya kepada defendan yang menerima rasuah, Annas Maamun.



Menurut pihak berkuasa, sepanjang menjadi gabenor wilayah Riau, Annas menerima rasuah Rp3 bilion sebagai bayaran awal bagi sokongannya menukar status hutan semula jadi seluas 18,000 hektar di Riau kepada status tanah ladang, sekali gus membenarkan syarikat Surya menanam pokok kelapa sawit.



Mahkamah juga mendapati Surya bersalah kerana meminta empat syarikatnya beroperasi di tanah ladang di Indragiri Hulu, di wilayah Riau, tanpa permit penuh.



Surya berada dalam senarai Forbes 2018 sebagai orang terkaya ke-28 di Indonesia dengan nilai bersih Rp20.7 trilion.



Dia tidak berada dalam senarai itu pada tahun-tahun lain.



Dr Sylvester Riza, daripada firma SRF Lawyers yang berpangkalan di Jakarta, menyifatkan keputusan itu sebagai satu kejayaan.



"Kami berharap keputusan ini akan dikekalkan oleh mahkamah lebih tinggi dan hukuman seberat itu boleh dikenakan ke atas sembarang pihak yang telah terbukti bersalah melakukan kesalahan sama," katanya kepada The Straits Times dalam satu laporan pada Rabu.



Sistem perundangan Indonesia membenarkan defendan merayu terhadap keputusan di Mahkamah Tinggi, dan kemudian di Mahkamah Agung jika mereka kalah lagi, atau tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi.



Seorang peguam bebas percaya kes itu boleh dibatalkan dengan mudah di mahkamah lebih tinggi.



Beliau berkata hukuman itu melampau, sambil menarik perhatian bahawa perniagaan perladangan Surya agak kecil, tidak seperti beberapa syarikat gergasi dengan konsesi perladangan menjangkau ratusan ribu hektar, yang tadbir urusnya diragui.



"Hakikat bahawa kumpulan perladangan kecil menjadi orang yang mendapat denda rekod yang begitu besar agak mencurigakan.



"Sesetengah kes undang-undang memang mempunyai motif politik," kata peguam itu, yang bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan, dengan alasan kadangkala bukti yang dikemuka di mahkamah ditapis oleh pendakwa raya negeri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >