Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja 14 tahun diberkas selepas kejadian tikam di Universiti Sydney

Jul 2, 2024 | 12:15 PM
tikaman
Anggota polis berada di tempat kejadian selepas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun diberkas dan seorang lelaki berusia 22 tahun dibawa ke hospital berikutan insiden tikaman di Universiti Sydney di Camperdown, Australia, pada 2 Julai. - Foto REUTERS

SYDNEY: Polis Australia telah memberkas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dalam kejadian tikaman di Universiti Sydney pada 2 Julai.

Mangsa serangan, seorang lelaki berusia 22 tahun, segera dikejarkan ke hospital dalam keadaan serius tetapi stabil, kata polis New South Wales dalam satu kenyataan.

Tiada risiko berterusan terhadap masyarakat, kata mereka.

Jurucakap Universiti Sydney berkata operasi polis sedang dijalankan di kampus Camperdown dan polis akan terus berada di kampus sedang siasatan diteruskan.

Menurut The Sydney Morning Herald, beberapa kereta polis dan ambulans bergegas ke tempat kejadian berikutan laporan kejadian tikaman pada pagi 2 Julai.

Beberapa bangunan universiti ditutup ketika polis memeriksa tempat kejadian.

Polis dimaklumkan remaja itu telah meninggalkan tempat kejadian dan menaiki bas di Jalan Parramatta.

Mereka kemudian menemuinya berhampiran Hospital Putera Diraja Alfred. Dia segera diberkas.

Jurucakap polis menyatakan bahawa remaja dan mangsa tidak mengenali satu sama lain.

Jenayah menikam dengan pisau telah menjadi perhatian di Australia sejak akhir-akhir ini.

Pada 5 Mei, polis menembak mati seorang remaja yang dilaporkan telah menikam orang awam di Perth.

Serangan Perth berlaku hanya beberapa minggu selepas kejadian menikam di sebuah pusat beli-belah Sydney pada 13 April, yang menyebabkan enam orang terbunuh.

Suspek dalam serangan di pusat beli-belah itu ditembak mati oleh seorang pegawai polis.

Serangan pisau di gereja Sydney dua hari selepas serangan di pusat beli-belah itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang cedera.

Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun pula didakwa atas kesalahan keganasan kerana menyerang Biskop Assyria Mar Mari Emmanuel di sebuah gereja pada 15 April. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg