WINDER (Georgia): Seorang pelajar berusia 14 tahun melepaskan tembakan di sekolah tinggi di Georgia pada 4 September, membunuh dua pelajar dan dua guru sebelum menyerah diri kepada pegawai sekolah.
Menurut pihak berkuasa, suspek akan didakwa atas tuduhan membunuh.
Kejadian tembakan di Sekolah Tinggi Apalachee di Winder, Georgia merupakan episod keganasan di sekolah paling maut dalam sejarah negeri itu dan sekurang-kurangnya sembilan yang lain - lapan pelajar dan seorang guru - dilaporkan cedera.
Pegawai penyiasat mengenal pasti suspek sebagai Colt Grey, dan berkata bahawa dia akan didakwa apabila dewasa kelak.
Pihak berkuasa mengenal pasti dua pelajar yang maut itu sebagai Mason Schermerhorn dan Christian Angulo, kedua-duanya berusia 14 tahun.
Dua guru yang terbunuh dikenal pasti sebagai Encik Richard Aspinwall dan Cik Christina Irimie, kata pegawai.
Pengarah Biro Penyiasatan Federal (FBI) Georgia, Encik Chris Hosey berkata pada petang 4 September bahawa suspek menggunakan “senjata gaya platform AR.”
Pihak berkuasa masih menyiasat bagaimana dia mendapat akses kepada pistol itu.
Kejadian itu mencetuskan ketakutan dan kesedihan di Winder, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 18,000 penduduk di kawasan pinggir Atlanta.
Para pelajar yang kesemuanya baru memulakan penggal persekolahan, berkata mereka mendengar bunyi tembakan dan terus bergegas ke bilik darjah masing-masing.
Mereka kemudian melarikan diri ke padang bola untuk bertemu dengan ibu bapa mereka yang cemas atas kejadian itu.
Suspek telah berada dalam pemantauan pegawai penguatkuasa undang-undang lebih setahun lalu berhubung ancaman tembakan di sekolah yang ditularkan dalam talian.
FBI berkata bahawa suspek dan bapanya telah disiasat oleh pegawai penguatkuasa undang-undang tempatan namun dia menafikan membuat ugutan berkenaan.
Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dalam satu kenyataan, berkata kejadian tembakan itu sebagai “satu lagi peringatan ngeri tentang bagaimana keganasan senjata api terus memecah belah masyarakat kita.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg