NEW DELHI: Seorang remaja perempuan mencuri perhatian ramai di media sosial apabila hobinya yang luar biasa menjadi tular.
Berbeza dengan kanak-kanak lain yang gemar mengumpul duit syiling atau setem, remaja itu memilih untuk ‘memburu’ nyamuk.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh pengguna Instagram, Akanksha Rawat, remaja tersebut dilihat bukan sahaja membunuh nyamuk, tetapi turut memberi nama kepada setiap ekor serta mencatatkan tempat, masa dan tarikh kematian nyamuk tersebut dalam sebuah buku rekod.
Malah, video yang dimuat naik itu kini telah mencapai 8.4 juta tontonan.
Dalam video berkenaan, remaja tersebut berkongsi dengan terperinci mengenai hobinya.
Bangkai nyamuk tersebut kemudian dilekatkan dengan pita pelekat pada sehelai kertas dan disusun dengan teratur.
Akanksha bersama seorang lagi rakannya dalam video itu berseloroh memanggil remaja tersebut sebagai ‘psycho’ (gila) kerana hobinya yang unik, namun ia disampaikan dengan nada gurauan.
Walaupun dianggap pelik oleh sesetengah pihak, ramai netizen yang terhibur dan kagum dengan ketekunan gadis tersebut, menyebabkan video itu menjadi tular dengan pantas di platform media sosial. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg