Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja hilang 5 ahli keluarga dalam nahas jalan raya di Perak

May 18, 2023 | 5:30 AM
PILU: Ahmad Danish Basyir Nasaruddin (dua dari kanan) dan adiknya, Siti Nur Khadijah (tiga dari kanan) dipujuk ahli keluarga ketika menunggu jenazah adik-beradik dan ibu mereka di Unit Forensik Hospital Kampar pada 16 Mei lalu. - Foto BERNAMA
PILU: Ahmad Danish Basyir Nasaruddin (dua dari kanan) dan adiknya, Siti Nur Khadijah (tiga dari kanan) dipujuk ahli keluarga ketika menunggu jenazah adik-beradik dan ibu mereka di Unit Forensik Hospital Kampar pada 16 Mei lalu. - Foto BERNAMA -

IPOH: Seorang remaja yang kehilangan lima anggota keluarga dalam nahas jalan raya berkata beliau masih sukar menerima hakikat Hari Raya yang baru disambut adalah yang terakhir buat keluarganya.

Ahmad Danish Basyir Nasaruddin, 16 tahun kehilangan ibunya dan empat adik-beradiknya dalam kemalangan di Kampar pada Selasa.

Beliau berkata bahawa beliau tidak percaya apabila sepupunya memberitahunya tentang berita sedih itu, sehinggalah seorang guru mengesahkannya.

"Pada mulanya, saya sangka sepupu saya sekadar bergurau... saya langsung tidak percaya.

"Tapi saya bergegas ke sini sebaik sahaja seorang guru memberitahu saya," ujar Ahmad Danish, yang ditemui Bernama di luar Unit Forensik Hospital Kampar.

Ahmad Danish, seorang pelajar di Sekolah Menengah Antarabangsa Izzudin Shah berkata kali terakhir beliau bertemu ibunya, Cik Azriyani Abdul Latif, 45 tahun, ialah semasa tempoh cuti Aidilfitri.

"Beliau memberitahu saya supaya menjaga diri dan jangan memberi masalah kepada sesiapa. Itulah kali terakhir saya bercakap dengan beliau... semasa beliau menghantar saya pulang ke asrama," ujar Ahmad Danish.

Keluarga lima beranak itu terbunuh selepas kereta mereka merempuh sebuah lori dari belakang, di Ekspreswe Utara-Selatan (KM 310).

Dalam kenyataannya, polis berkata empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, termasuk Cik Azriyani.

Seorang anaknya, Muhammad Fawwaz Nasaruddin, tujuh tahun, meninggal dunia di Hospital Tapah sekitar 9.20 pagi.

Adik-beradiknya lain yang meninggal dunia ialah Encik Muhammad Azib Nasaruddin, 23 tahun; Siti Nur Aminah, lapan tahun dan Ahmad Uwais, lima tahun.

Mayat kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Kampar bagi bedah siasat.

Pemandu lori, Encik B. Saashi Rao, 25 tahun tidak cedera.

Ahmad Danish dan dua lagi adik-beradiknya yang lain tidak berada dalam kereta itu semasa kejadian.

Dipercayai, keluarga itu sedang dalam perjalanan ke rumah orang tua Cik Azriyani.

Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya atas kesalahan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan maut.

Pegawai Komand di Jabatan Polis Kampar, Supritenden Encik Mohamad Nazri Daud berkata siasatan awal menunjukkan kededua kenderaan sedang menuju ke arah Kuala Lumpur dari Ipoh.

"Semasa di tempat kejadian, kereta itu merempuh bahagian belakang lori," kata beliau.

Pegawai bertugas di pusat operasi Jabatan Kebakaran dan Menyelamat Perak, Encik Mohd Faisal Mohd Izham berkata bahagian depan kereta terbakar dalam kemalangan itu.

"Empat mangsa terperangkap semasa kami tiba di tempat kejadian. Api dipadamkan oleh seorang individu menggunakan alat pemadam api," ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg