Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Afghan semakin melarat, bantuan luar kian menipis

Taleban teruskan larangan ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan termasuk sekatan atas wanita Afghan bekerja dengan PBB
May 22, 2023 | 05:30 AM



RAKYAT Afghanistan menghadapi 'tahun sangat sukar di hadapan', seorang pegawai kanan bantuan Amerika Syarikat memberi amaran.



Ini sedang negara-negara penderma bergelut dengan pentadbiran Taleban yang terus mengamalkan pendirian tegar ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan, di tengah-tengah lebih banyak kejadian krisis serata dunia dan berkurangnya dana.



Kumpulan Taleban merampas kuasa pada Ogos 2021 selepas tentera pimpinan Amerika berundur dari negara itu selepas 20 tahun berperang.



Pada April lalu, Taleban mula menguatkuasakan sekatan ke atas wanita Afghanistan yang bekerja dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas menghentikan kebanyakan wanita tempatan yang bekerja bagi bantuan antarabangsa pada Disember 2022.



"Kita tidak akan boleh membiasakan diri dengan perkara ini kerana kedua-duanya sudah tentu adalah menyedihkan dari segi moral, tetapi juga ia sangat bodoh," kata Cik Samantha Power, pentadbir Agensi Amerika Syarikat untuk Pembangunan Antarabangsa (Usaid), memberitahu Reuters.



"Kami menjangka tahun yang sangat sukar buat rakyat Afghanistan," katanya sambil menyatakan pada 2022 Usaid mempunyai lebih banyak wang untuk diberikan sebagai respon berkaitan perang Russia di Ukraine, yang dipersalahkan oleh PBB atas krisis makanan di peringkat sejagat.



Beliau berkata Washington perlu membuat beberapa "pilihan yang sangat sukar" tahun ini mengenai bantuan kemanusiaan sejagat.



PBB akan bertahan di Afghanistan untuk cuba membantu jutaan orang memerlukan, kata Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, tetapi beliau berkata pembiayaan semakin kering dengan rayuan untuk meraih AS$4.6 bilion ($6.1 bilion) hanya 7 peratus dipenuhi.



Menurut data PBB, Amerika merupakan penderma terbesar kepada rayuan PBB pada 2022, memberi hampir AS$1.2 bilion.



Namun setakat ini Amerika telah memberi dana kepada rayuan PBB pada 2023: AS$75 juta.



"Adalah sangat penting pada tahun ini bahawa negara lain dapat meningkatkan sumber yang melebihi apa yang mereka mampu gerakkan pada tahun lalu," kata Cik Power, sambil menambah bahawa dana Amerika telah pun dibelanjakan buat krisis yang tidak dijangka seperti gempa bumi di Turkey dan Syria selain perang di Sudan.



'PENYELESAIAN AJAIB'



Sejak menggulingkan pemerintah yang disokong kuasa Barat pada 2021, pentadbiran Taleban juga mengetatkan kawalan ke atas akses wanita kepada kehidupan awam, termasuk menyekat wanita dari universiti dan menutup sekolah menengah perempuan.



Taleban berkata ia menghormati hak wanita mengikut tafsiran tegar undang-undang Islam.



Pegawai Taleban berkata keputusan mengenai pekerja bantuan wanita adalah "isu dalaman".



PBB telah cuba mendapatkan pengecualian di beberapa bidang bagi wanita menyampaikan bantuan, terutamanya dalam kesihatan dan pendidikan.



PBB mengatakan hampir tiga perempat daripada 40 juta penduduk negara itu memerlukan bantuan kemanusiaan.



Britain telah mengurangkan bajet bantuan antarabangsanya tahun ini kerana berkata ia perlu membelanjakan lebih banyak di negaranya sendiri untuk membantu pelarian, terutamanya dari Ukraine dan Afghanistan.



Bagi tempoh kewangan yang berakhir pada 5 April 2024, ia telah mengikrarkan hampir AS$180 juta dalam pembiayaan bantuan buat Afghanistan dan Pakistan.



Menurut data PBB, Britain memberi lebih AS$450 juta kepada rayuan PBB pada 2022, menjadikannya penderma kedua terbesar selepas Amerika.



Duta Besar Britain di PBB, Cik Barbara Woodward, akui keperluan kemanusiaan yang besar di Afghanistan.



"Kami cuba memenuhi keperluan ini, bekerjasama dengan rakan kongsi, dan pada masa sama memastikan kami tidak memberikan apa-apa yang akan memberi alasan kepada Taleban untuk berfikir bahawa mereka boleh meneruskan cara zaman kuno ini," katanya.



Pada 2022, Switzerland adalah antara penderma utama dalam kalangan negara Barat, menurut data PBB, memberi kira-kira AS$35 juta.



Duta Besar Switzerland, Cik Pascale Baeriswyl, menyifatkan situasi di Afghanistan sebagai "dilema yang sukar".



"Jika anda menghentikan projek itu, anda tahu ada orang akan mati," kata Cik Baeriswyl.



"Tetapi pada masa yang sama... tidak mungkin untuk melaksanakan projek tanpa wanita dapat bekerja... dan kami tidak mempunyai penyelesaian ajaib untuk itu."



PBB mempunyai kira-kira 3,300 kakitangan Afghanistan, dengan kira-kira 400 daripadanya adalah wanita, sedang kira-kira 600 kakitangan antarabangsa di negara itu tidak terjejas oleh larangan tersebut.



PBB berkata ia akan mengkaji semula operasinya dan berusaha sedaya upaya mengekalkan pekerja Afghanistannya di rumah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >