Subuh
5:41
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:31

2 parti kuasai politik AS

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

2 parti kuasai politik AS

Republikan, Demokrat berbeza dalam banyak isu tapi sekata dalam isu dasar luar
Apr 26, 2021 | 05:30 AM

POLITIK Amerika Syarikat telah lama dikuasai dua parti politik utama - Parti Demokrat dan Parti Republikan - sejak penubuhan republik itu.

Malah sejak 1850-an, dua parti itu telah menguasai politik negara itu, Kongres dan juga jawatan presiden.

Ini bukan bermakna tiada parti lain yang wujud. Terdapat parti lain sejak beberapa dekad lalu seperti Parti Libertarian, Parti Perlembagaan, Parti Hijau dan banyak lagi parti yang hanya menerima sokongan minimum dan menerima sedikit undian di satu dua negeri di Amerika semasa pilihan raya.

PERBEZAAN ASAS DEMOKRAT DAN REPUBLIKAN

Wadah Parti Republikan secara amnya adalah berdasarkan pada konservatisme Amerika. Namun kedudukan parti itu telah berubah dari masa ke masa.

Pada masa ini, konservatisme fiskal parti itu termasuk sokongan kepada kadar cukai lebih rendah, kapitalisme pasaran bebas, dunia korporat tanpa terlalu terikat dengan undang-undang, dan sekatan terhadap kesatuan sekerja.

Konservatisme sosial parti itu pula merangkumi sokongan terhadap hak memiliki senjata dan nilai tradisional lain, selalunya berkaitan dengan pegangan asas agama Kristian, termasuk sekatan terhadap pengguguran.

Bagi dasar luar, Republikan lebih cenderung kepada peningkatan perbelanjaan ketenteraan dan tindakan sepihak. Pendekatannya dalam perkara lain termasuk sekatan imigresen dan penentangan terhadap kebenaran penggunaan dadah.

Manakala bagi Parti Demokrat pula, wadahnya secara umum berdasarkan liberalisme Amerika.

Wadahnya adalah memperjuang program sosial, kesatuan sekerja, perlindungan pengguna, keselamatan di tempat kerja, peluang sama, hak golongan cacat, kesetaraan kaum, peraturan menentang pencemaran alam sekitar, dan reformasi kepada keadilan jenayah.

Demokrat juga cenderung menyokong kepada laluan memberi kewarganegaraan kepada pendatang tanpa dokumen. Parti itu juga biasanya bersetuju dengan konsensus ilmiah mengenai perubahan iklim dan memilih pendekatan pelbagai hala dalam dasar luar.

Selain itu, falsafah Republikan lebih cenderung kepada kebebasan, hak dan tanggungjawab individu. Sebaliknya, Demokrat mementingkan kesaksamaan dan tanggungjawab sosial/ masyarakat.

PERANAN PEMERINTAH

Salah satu perbezaan paling ketara bagi falsafah dan pendekatan Demokrat dan Republikan adalah mengenai peranan pemerintah.

Demokrat cenderung kepada peranan lebih aktif pihak pemerintah dalam masyarakat dan percaya bahawa penglibatan seperti itu dapat meningkatkan mutu kehidupan rakyat dan membantu mencapai peluang dan kesaksamaan lebih besar.

Sebaliknya, Republikan cenderung memilih pemerintah lebih kecil - baik dari segi jumlah orang yang digajikan pemerintah dan juga dari segi peranan dan tanggungjawab pemerintah dalam masyarakat.

Mereka melihat 'pemerintah besar' sebagai boros dan halangan untuk menyelesaikan sesuatu. Pendekatan mereka adalah kapitalisme Darwin kerana perniagaan yang kukuh harus mampu bertahan di pasaran bebas, dan bukannya dengan pengaruh pemerintah - melalui peraturan - untuk menentukan siapa yang menang atau kalah dalam perniagaan.

PANDANGAN POLITIK

Demokrat (haluan kiri): Lebih suka dengan peraturan dan perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan sejagat percuma yang akan diberi pemerintah kepada semua rakyat.

Republikan (haluan kanan): Lebih suka pemerintah lebih kecil, kurang peraturan, dan kebanyakan perkhidmatan harus diberi sektor swasta dalam pasaran bebas.

PANDANGAN EKONOMI

Demokrat: Pemerintah harus memberi lebih banyak perkhidmatan kepada mereka yang kurang bernasib baik (seperti penjagaan kesihatan) dan meningkatkan cukai jika perlu. Golongan berpendapatan tinggi harus membayar peratusan pendapatan mereka yang lebih besar sebagai cukai.

Republikan: Pemerintah harus mengurangkan cukai dan kurang berbelanja. Memotong perbelanjaan untuk mengimbangi belanjawan negara harus menjadi keutamaan. Golongan berpendapatan tinggi harus mempunyai insentif untuk melabur. Perbuatan amal adalah tanggungjawab rakyat.

PANDANGAN SOSIAL

Demokrat: Pasangan sesama jantina mendapat hak sama seperti pasangan/orang lain termasuk dalam perkara perkahwinan; pengguguran harus dibenarkan di bawah undang-undang. Parti itu juga menyokong sekatan dan peraturan bagi hak memiliki senjata.

Republikan: Menentang perkahwinan sesama jantina dan pengguguran. Ia menyokong hak memiliki senjata, hukuman mati, dan tanggungjawab peribadi sebagai seorang individu.

TANGGUNGJAWAB PERIBADI

Demokrat: Rakyat harus melihat kepada pemerintah untuk menyediakan struktur. Undang-undang digubal untuk melindungi setiap individu bagi satu masyarakat yang setara, kadangkala sehingga mengorbankan kebebasan ekonomi jika diperlukan.

Republikan: Individu harus melaksanakan tanggungjawab peribadi dan menjadi peranan pemerintah untuk membuat mereka bertanggungjawab walaupun dengan hukuman berat. Undang-undang digubal untuk mencerminkan kepentingan terbaik masyarakat secara keseluruhan.

DASAR KESIHATAN

Demokrat: Menyokong penjagaan kesihatan sejagat; sokongan kuat penglibatan pemerintah dalam penjagaan kesihatan, termasuk Medicare dan Medicaid. Secara amnya menyokong Obamacare.

Republikan: Syarikat swasta dapat memberi perkhidmatan kesihatan lebih cekap daripada program yang dijalankan pemerintah. Menentang keperluan dalam Obamacare seperti keperluan bagi individu membeli insurans kesihatan atau membayar denda.

DASAR LUAR

Menariknya, umumnya kedua-dua Demokrat dan Republikan sepakat dalam beberapa isu dasar luar. Kededuanya mempunyai sikap tegas terhadap China, terutama mengenai perdagangan dan keselamatan negara.

Kemajuan China dalam sektor teknologi tinggi telah membimbangkan kededua parti politik itu dengan kempen pilihan raya mereka menekankan keperluan mengekang pengaruh China.

Kededua pihak juga menyokong penarikan tentera Amerika dari Afghanistan, dan rundingan damai antara pemerintah Afghanistan dengan Taliban.

Mantan Presiden Donald Trump, seorang Republikan, membuat perjanjian damai yang signifikan antara Israel dengan beberapa negara Arab.

Presiden Joe Biden, seorang Demokrat, mengatakan beliau gembira dengan perjanjian itu. - Agensi berita, Internet.


APA ANDA PERLU TAHU TENTANG REPUBLIKAN DAN DEMOKRAT

  • Tahun ditubuhkan:

Republikan pada 1854: Demokrat pada 1824.

  • Bilangan anggota parti (sehingga 2017):

Republikan, 32.8 juta orang; Demokrat 44.7 juta orang.

  • Simbol dan warna parti:

Republikan gunakan Gajah (Merah); Demokrat gunakan Keldai (Biru).

  • Calon presiden pilihan raya Amerika Syarikat 2020:

Republikan, Encik Donald Trump; Demokrat, Encik Joe Biden.

  • Antara presiden terkenal:

Republikan – Abraham Lincoln, Teddy Roosevelt, Ronald Reagan, George Bush, Richard Nixon. Demokrat – Franklin Roosevelt, John F. Kennedy, Bill Clinton, Jimmy Carter, Barack Obama.
 

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3