Ribuan beri penghormatan terakhir kepada mendiang George Floyd
Ribuan beri penghormatan terakhir kepada mendiang George Floyd
HOUSTON: Ribuan warga Amerika Syarikat tampil memberi penghormatan terakhir kepada mendiang, Encik George Floyd, semasa acara pengebumiannya hari ini.
Penduduk Houston di Texas, tidak mengendahkan terik matahari di majlis sangat hiba itu.
Meskipun demikian, beberapa orang lelah semasa beratur dan terpaksa dikejarkan ke hospital.
Lebih 6,300 orang yang hadir di acara yang berlangsung lebih enam jam itu, dengan ramai berpeluang tampil dan memberi hormat terakhir di depan keranda mendiang Encik Floyd, yang berketinggian 1.93 meter, dan dikenali dalam kalangan keluarga dan rakan sebagai 'gergasi baik'.
Beliau juga dikatakan sebagai seorang atlet dan penyanyi rap.
Bendera negara berkibar dan orang ramai berbaris panjang sejak awal pagi, kebanyakan adalah penduduk di daerah perumahan Third Ward di mana Floyd membesar, dan jumlah yang tampil semakin bertambah di luar gereja Fountain of Praise di selatan Houston.
Kematian Encik Floyd pada 25 Mei lalu, disebabkan seorang anggota polis berkulit putih melutut di atas lehernya, menyebabkan beliau sukar bernafas.
Kematian mangsa berusia 46 tahun itu mencetuskan kemarahan dan protes antiperkauman, bukan hanya di Amerika Syarikat tetapi juga di seluruh dunia.
Antara orang ramai yang hadir dilihat memakai baju tertulis 'Saya tidak boleh bernafas', kata-kata terakhir mendiang Floyd, manakala sebilangan yang lain mengangkat dan menggenggam tangan sebagai simbol perpaduan dan hak masyarakat kulit hitam. - Reuters

