SYDNEY: Ribuan jururawat mengadakan tunjuk perasaan di bandar terbesar Australia, Sydney, semalam sebagai membantah kekurangan kakitangan selain rasa tertekan berkaitan pandemik Covid-19.
Mengingkari larangan kepada mereka untuk melakukan mogok, ribuan pekerja itu memakai sut pembedahan dan pelitup berarak ke Parlimen atas apa yang mereka tegaskan sebagai keadaan kerja yang tidak boleh diterima.
Jururawat itu berarak sambil bersorak, bertepuk tangan dan melaungkan kemarahan mereka terhadap kekurangan katil hospital dan peralatan yang teruk akibat pandemik berterusan itu.
Mereka membawa sepanduk bertulis "Jururawat tidak dapat menghadapinya" sambil mengkritik pemimpin politik yang mereka tuduh mengabaikan nasib mereka.
Selama dua tahun, kakitangan perubatan Australia bekerja di bawah protokol Covid-19 yang ketat, sambil berusaha menjalankan tugas harian dan melancarkan program vaksinasi yang belum pernah dilakukan sebelumnya.
Tetapi pada beberapa bulan lalu telah menyaksikan kenaikan besar kes koronavirus - membawa kepada lebih ramai pesakit dan mengurangkan bilangan kakitangan sedang lebih ramai pekerja kesihatan jatuh sakit atau terpaksa mengasingkan diri.
"Masyarakat perlu mendengar kebenaran - tahap kakitangan semasa tidak mencukupi, tidak selamat dan meletakkan pesakit dalam risiko," ujar Persatuan Jururawat dan Bidan New South Wales (NSW).
Dalam satu kenyataan, Jabatan Kesihatan NSW mengucapkan terima kasih kepada jururawat kerana bekerja "tanpa penat selama dua tahun pandemik Covid-19".
Namun ia menambah bahawa "terdapat lebih ramai jururawat dan bidan di hospital awam New South Wales berbanding pada masa lain dalam sejarah".
Satu proses timbangtara telah gagal menghentikan mogok dan mahkamah Suruhanjaya Perhubungan Perusahaan telah mengarahkan supaya tindakan mogok itu tidak dilakukan.
Arahan itu ditolak, dengan penganjur kesatuan berkata tindakan mogok selanjutnya sedang dipertimbangkan.
Penutupan sempadan yang ketat dan ujian serta pengesanan yang agresif bermakna Australia hampir bebas Covid-19 buat sebahagian besar wabak itu.
Tetapi kemunculan varian Omicron sejak beberapa bulan lalu telah mengakibatkan puluhan ribu kes jangkitan dan berpuluh kematian setiap hari.
Sejumlah 2.5 juta kes telah direkodkan dalam kalangan 25 juta penduduk negara itu.
Bilangan kes baru telah menjadi lebih rendah sejak kebelakangan ini.
Lebih 23,000 kes baru dilaporkan sehingga tengah hari semalam, manakala kes hospital menurun kepada kira-kira 3,000 daripada 5,400 pada tiga minggu lalu.
Pegawai pemerintah mencatatkan 46 kematian baru, dengan jumlah kematian sepanjang tempoh wabak mencapai 4,664. - AFP, Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg