WASHINGTON: Ribuan orang mengadakan tunjuk perasaan di Washington mengecam Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, menentang apa yang disifatkan sesetengah pihak sebagai "kezaliman" vaksinasi mandatori Covid-19, sambil menyeru diperkukuh "kebebasan".

Beberapa orang memberi ucapan bantahan - termasuk antivaksin Encik Robert F. Kennedy Jr, yang membandingkan vaksinasi mandatori dengan Holocaust - di depan bangunan Memorial Lincoln, mengecam peraturan mandatori itu.

Seperti sekatan Covid-19 lain yang bertujuan mengekang penyakit yang telah menjangkiti lebih 70 juta orang di Amerika, memgirbankan lebih 865,000 dan menyebabkan kehidupan harian di seluruh dunia terhenti selama dua tahun, vaksinasi mandatori telah menjadi isu politik yang sangat memecahbelahkan.

"Mandatori dan kebebasan tidak bercampur, seperti minyak dan air," kata penceramah lain di depan hadirin merangkumi peserta daripada semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak, dan sebahagian besarnya tidak memakai pelitup.

"Saya bukan antivaksin, tetapi saya anti pada vaksin ini," kata Cik Michelle, ahli terapi fizikal berusia 61 tahun dari Virginia yang enggan memberi nama keluarganya, kepada AFP.

Beliau berkata serum mRNA yang dihasilkan syarikat seperti Pfizer dan Moderna dalam masa singkat adalah "terlalu eksperimen" dan "tergesa-gesa".

Namun, vaksin mRNA, yang diberikan kepada jutaan orang di seluruh dunia pada tahun lalu, telah terbukti selamat dan berkesan, serta dipuji sebagai memainkan peranan penting dan berpotensi dalam perubatan moden.

Cik Michelle mendakwa beliau mempunyai pengecualian agama daripada mengambil vaksin itu, tetapi untuk terus bekerja di Washington beliau perlu menjalani ujian setiap minggu.

Yang dikesalkan, anaknya yang pada mulanya juga enggan mengambil vaksin, kini telah mengalah.

"Dia pergi dan mendapatkannya tanpa saya ketahui - ekoran banyak tekanan rakan sebaya," katanya.

Seorang lagi penunjuk perasaan, Cik Therese, dengan tegas menentang vaksin - semua vaksin.

Beliau menjelaskan bahawa beliau datang dengan bas dari Michigan, di utara negara itu, untuk membantah.

"Mandatori tidak sesuai... vaksin tidak berfungsi, kami telah ditipu mengenai vaksin itu," kata wanita berusia 61 tahun itu, yang bekerja di kafeteria sekolah sebelum bersara dan juga enggan memberi nama keluarga.

Encik Isaac Six, 34 tahun, sedia hadapi 'kehidupan lebih sukar' jika tidak divaksinasi semasa berada di Washington, di mana bukti vaksinasi kini diperlukan untuk pergi ke restoran dan tempat awam lain.

"Tidak mengapa, kami dapat jimatkan wang," kata pekerja amal berusia 34 tahun itu sambil ketawa.

Vaksin secara umum adalah "hebat, ia telah membantu jutaan orang", ujarnya.

Tetapi mewajibkan vaksin ini, yang seperti semua vaksin tidak 100 peratus berkesan untuk mencegah penularan, adalah "tidak rasional sama sekali", hujahnya.

Apa yang membimbangkan beliau ialah dasar yang diterima pakai "kerana ketakutan dan panik" dan "oleh satu orang".

"Saya ingin melihat lebih banyak proses perundangan yang terlibat, orang yang kita pilih untuk mewakili kita adalah orang yang benar-benar meluluskan undang-undang," katanya. - AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti