Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

KRISIS SEMPADAN POLAND-BELARUS

Ribuan pendatang Timur Tengah 'terperangkap', nanti pembelaan

Krisis pendatang di sempadan Poland-Belarus telah menarik perhatian antarabangsa, termasuk layanan kepada golongan rentan ini. Kejadian ini yang melibatkan ribuan pendatang, kebanyakannya dari negara Timur Tengah, yang cuba memasuki negara Kesatuan Eropah demi mencari kehidupan yang lebih baik. Ikuti laporan berikut.
Nov 19, 2021 | 05:30 AM



BRUSSELS/WARSAW: Pasukan keselamatan Poland terpaksa melepaskan tembakan meriam air ke arah pendatang yang membaling batu ke arah mereka - semuanya berlaku di sempadan dengan Belarus



Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) pula mengulangi sokongannya terhadap Warsaw dalam krisis yang telah menyebabkan ribuan orang terkandas di sempadan dalam suhu amat sejuk.



Rakaman video yang dikeluarkan pihak berkuasa Poland menunjukkan pihak pendatang membaling botol dan kayu melintasi pagar sempadan dawai berduri, dan menggunakan kayu untuk cuba menembusinya.



Tujuh polis cedera dalam keganasan itu, yang terbaru dalam krisis yang menurut Kesatuan Eropah (EU) didalangi Belarus - sekutu Russia - sebagai tindakan balas terhadap sekatan yang dikenakan EU ekoran tindakan keras Belarus terhadap bantahan politik, satu tuduhan yang dinafikan Minsk.



Kumpulan pendatang itu, sebahagian besar dari Timur Tengah, mula muncul di bahagian sempadan Belarus pada musim panas lalu, dengan ribuan cuba masuk ke Poland, Lithuania dan Latvia dengan berjalan kaki melalui hutan, tasik dan paya.



Dianggarkan sehingga 4,000 pendatang, kebanyakannya dari Iraq dan Afghanistan, kini menunggu di hutan beku di kawasan yang bukan sahaja bersempadankan Poland, bahkan sempadan EU dan Nato, pakatan tentera Barat.



"Kami amat bimbang tentang cara rejim (pemimpin Belarus Alexander) Lukashenko menggunakan pendatang yang terdedah sebagai taktik hibrid terhadap negara lain," kata Setiausaha Agung Nato, Encik Jens Stoltenberg, dalam satu mesyuarat menteri pertahanan perikatan tentera itu di Brussels.



"Kami berdiri secara bersama dan bersepadu dengan Poland dan semua sekutu yang terjejas."



Lithuania dan Latvia, seperti Poland, adalah anggota Nato dan EU, telah melaporkan peningkatan mendadak dalam percubaan menyeberang dari Belarus sejak musim panas lalu.



MANGSA KRISIS



Sekurang-kurangnya 11 pendatang telah meninggal dunia di sempadan itu dalam krisis tersebut.



Seorang lelaki Syria berusia 19 tahun, telah dikebumikan baru-baru ini di perkampungan Bohoniki di timur laut Poland.



Encik Ahmed al-Hassan lemas di sebuah sungai di situ bulan lalu ketika cuba menyeberang masuk ke EU dari Belarus.



Seorang budak lelaki Kurdi berusia sembilan tahun yang telah dipotong kedua-dua kakinya adalah antara pendatang yang tersangkut di kawasan sempadan selepas Poland enggan membenarkan mereka masuk, dan tentera Belarus pula menghalang mereka masuk semula ke negara itu.



Budak lelaki itu, Taman, sedang berkhemah bersama ibu bapanya, adik lelakinya berumur 11 tahun dan adik perempuannya berumur tujuh bulan berhampiran pagar sempadan.



Bapa Taman, Encik Sangar, berkata:



"Kami sudah berada di sini selama lapan hari. Di sini sangat sejuk... Kami datang dari Iraq buat anak saya Taman. Saya mahu membawa keluarga saya ke negara di mana hak kami akan dilindungi.



"Sebagai satu keluarga kami berada dalam keadaan amat sukar. Kami datang ke sini, setakat ini, dengan dia (Taman), begini... Kami mohon semua orang yang boleh membantu kami... Saya mahu anak saya Taman tinggal di tempat yang indah."



Bercakap kepada Reuters di Iraq, bapa saudara Encik Sangar, Encik Jwamar, berkata Taman dilahirkan dengan penyakit tulang dan sebuah hospital di Jerman telah menawarkan bantuan, tetapi keluarga itu gagal mendapatkan visa untuk ke sana.



Doktor di Iraq kemudian memutuskan memotong kaki Taman.



Selain itu, ada juga sebilangan saudara pendatang yang terperangkap di situ tiba di bandar sempadan Poland dengan harapan dapat membantu orang tersayang mereka.



Antaranya, seorang warga Syria menetap di Sweden untuk mencari anak perempuannya, Cik Hilda Naaman, doktor berusia 25 tahun, yang dalam perjalanan ke Eropah dari Syria.



Lelaki itu, yang menggelar dirinya Cik Abou Elias, berkata anak perempuannya telah menghabiskan 25 hari di sempadan dalam keadaan lapar, dahaga dan baru pulih daripada kecederaan setelah dipukul pengawal sempadan Belarus.



"Beliau tidak boleh berjalan lagi. Kuku anak perempuan saya dicabut. Pegawai Belarus datang pada waktu malam, memukul mereka dengan batang elektrik... menyuruh mereka pergi ke Poland," katanya.



PENDERITAAN BESAR



"Kita dapat melihat penderitaan besar terhadap orang yang terperangkap di situ dalam keadaan tidak bermaya," kata Cik Dunja Mijatovic, pesuruhjaya hak asasi manusia bagi Majlis Eropah, badan pemerhati hak Eropah yang lebih besar daripada EU dan turut mengambil kira Russia dalam kalangan anggotanya.



Selepas melawat pusat bantuan pendatang di bandar Poland berhampiran sempadan, beliau berkata:



"Kita perlu mencari jalan untuk mengurangkan konflik, untuk memastikan tumpuan diberi demi menghentikan penderitaan."



Pada Isnin lalu, EU bersetuju mengenakan lebih banyak sekatan ke atas Belarus untuk menyasarkan syarikat penerbangan, agensi pelancongan dan individu yang terlibat dalam mendorong pendatang ke sempadan.



EU dan Nato telah meminta Russia, sekutu terpenting Encik Lukashenko, supaya beliau segera menamatkan krisis itu.



Nato juga telah memberi amaran kepada Kremlin mengenai apa yang dikatakan mereka sebagai penambahan besar tentera Russia di sempadan Ukraine.



Di Brussels, Menteri Angkatan Tentera Perancis, Cik Florence Parly, berkata Eropah sedang mengawasi kedua-dua sempadan Belarus-Poland dan aktiviti Russia berhampiran Ukraine.



EU menuduh Belarus mencipta krisis pendatang di sempadan timurnya sebagai sebahagian "serangan hibrid" ke atas blok itu - mengeluarkan visa Belarus di Timur Tengah, menerbangkan pendatang dan kemudian mengarahkan mereka menyeberangi sempadan secara haram.



Belarus menafikan mencetuskan krisis itu, tetapi juga berkata ia tidak dapat membantu menyelesaikannya melainkan Eropah menarik balik sekatan sedia ada. - Reuters, agensi berita.




"Kita dapat melihat penderitaan besar terhadap orang yang terperangkap di situ dalam keadaan tidak bermaya.... Kita perlu mencari jalan untuk mengurangkan konflik, untuk memastikan tumpuan diberi demi menghentikan penderitaan."
- Cik Dunja Mijatovic, pesuruhjaya hak asasi manusia bagi Majlis Eropah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >