Ribuan penduduk larikan diri
Junta Myanmar isytihar undang-undang tentera di Hlaing Tharyar selepas bantahan berdarah Ahad lalu
YANGON: Ribuan penduduk melarikan diri dari kawasan industri di pinggir kota komersial Yangon kelmarin, setelah ia diletakkan di bawah undang-undang tentera oleh junta yang memerintah menyusuli bantahan antikudeta berdarah pada hujung minggu lalu.
"Di sini seperti zon perang, mereka (pihak keselamatan) menembak di mana-mana," kata seorang penganjur buruh di daerah Hlaing Tharyar kepada Reuters, sambil menambah bahawa kebanyakan penduduk terlalu takut untuk keluar.
Lebih 40 orang dibunuh pasukan keselamatan dalam tunjuk perasaan di Hlaing Tharyar pada Ahad lalu dengan beberapa kilang dibakar.
Keluarga mangsa yang terbunuh menghadiri pengebumian mereka kelmarin.
Myanmar kini huru-hara sejak tentera melancarkan rampasan kuasa terhadap pemerintah yang dipilih pimpinan Cik Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu dan menahannya dan anggota partinya yang lain, sehingga mendapat kecaman antarabangsa.
Perancis mengatakan Kesatuan Eropah (EU) akan meluluskan sekatan terhadap mereka yang bertanggungjawab bagi rampasan kuasa itu pada Isnin ini.
Sementara itu, pihak junta telah membuat tuduhan terhadap duta antarabangsa pemerintah yang digulingkan atas dakwaan khianat kerana mendorong kempen ketidakpatuhan awam dan meminta sekatan terhadap negara itu, kata pihak televisyen yang dikuasai tentera.
Tuduhan tersebut boleh membawa kepada hukuman mati.
Doktor Sasa - yang tidak berada di negara itu - berkata beliau bangga dikenakan tuduhan itu.
"Jeneral-jeneral ini telah melakukan pengkhianatan setiap hari - mengambil apa yang mereka mahukan untuk diri mereka sendiri, menafikan hak rakyat dan menindas mereka yang menghalangi mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Lebih 180 penunjuk perasaan maut sedang pasukan keselamatan berusaha menghancurkan bantahan antikudeta, menurut kumpulan aktivis Persatuan Bantuan bagi Tawanan Politik (AAPP).
Ramai penduduk Hlaing Tharyar, kawasan pinggir bandar miskin yang menjadi kediaman bagi pendatang dan pekerja, melarikan diri kelmarin dengan membawa barang mereka dengan motosikal dan tuk-tuk setelah tentera meletakkannya dan lima kawasan lain di Yangon di bawah undang-undang tentera, lapor Frontier Myanmar.
Sebelumnya, China Global Television Network (CGTN), saluran antarabangsa China berbahasa Inggeris, telah memberi amaran terhadap sebarang serangan lanjut terhadap perniagaan milik China setelah lebih 30 kilang di Hlaing Tharyaran dibakar Ahad lalu.
"China tidak akan membiarkan kepentingannya diceroboh lagi. Jika pihak berkuasa tidak dapat melakukannya dan kekacauan terus berlaku, China mungkin terpaksa mengambil tindakan lebih drastik untuk melindungi kepentingannya," kata CGTN, yang ada kaitan dengan Parti Komunis China.
Beijing dilihat oleh gerakan penentang junta sebagai menyokong junta tentera itu dan, tidak seperti kuasa Barat, ia tidak mengecam rampasan kuasa itu.
Bersama dengan Russia, ia telah menghalang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengecam tindakan tentera sebagai rampasan kuasa.
Sementara itu, kumpulan sami Buddha yang terkuat di Myanmar telah meminta pihak junta supaya menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan dan menuduh "sebilangan minoriti bersenjata" menyeksa dan membunuh orang awam yang tidak bersalah menyusuli rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, lapor media semalam.
Dalam kecaman tegasnya terhadap tindakan keras tentera terhadap bantahan prodemokrasi, badan kumpulan sami yang dilantik pemerintah itu juga mengatakan dalam draf kenyataan mereka bahawa anggotanya berhasrat menghentikan kegiatannya sebagai satu bentuk bantahan. - Reuters.

