CARACA: Ribuan rakyat Venezuela daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar dan pesara, berduyun-duyun ke kem latihan militia hujung minggu lalu pada 14 September selepas Presiden Nicolas Maduro menyeru mereka untuk “mempertahankan tanah air” daripada kemungkinan pencerobohan Amerika Syarikat.
Di kem latihan sekitar Caracas, sukarelawan diajar cara mengendalikan dan menembak senjata api sambil ditiup retorik anti-Amerika, ketika kapal perang Amerika dikesan berlabuh berhampiran perairan Caribbean.
“Jika orang Amerika datang dengan jentera perang mereka… kami akan sambut mereka dengan peluru,” kata Encik Pedro Arias, sukarelawan berusia 62 tahun, kepada AFP.
Encik Maduro, yang dua penggal pemilihannya tidak diiktiraf Washington dan dituduh sebagai ketua kartel dadah, mendakwa Amerika sedang mencetuskan ancaman terbesar dalam beberapa tahun.
Menurutnya, pengeboman kapal yang didakwa membawa dadah oleh tentera Amerika awal bulan September ini yang membunuh 11 orang, serta tindakan menahan sebuah kapal nelayan Venezuela selama lapan jam di zon ekonomi eksklusif negara itu, membuktikan wujudnya “pencerobohan terbuka”.
“Ini bukan sekadar ketegangan, ini adalah agresi dari semua pencerobohan perundangan, politik, diplomatik, dan juga ketenteraan,” katanya dalam sidang media bersama pegawai kanan tentera.
Encik Maduro menegaskan komunikasi rasmi antara Caracas dan Washington kini terputus. “Saluran komunikasi dengan pemerintah Amerika telah dibuang, mereka yang membuangnya dengan ancaman bom, kematian dan ugutan,” ujarnya.
Seiring dengan retoriknya, Encik Maduro mengerahkan tentera ke pesisir Caribbean dan sempadan Colombia, sambil menyeru rakyat biasa menyertai militia yang berkait rapat dengan angkatan tentera.
Di kompleks ketenteraan Cik Fuerte Tiuna, sukarelawan tiba dengan kereta dan bas, ada berpakaian sukan, ada mengenakan seragam tentera tiruan. Sesetengah membawa logo kumpulan seperti syarikat elektrik negara, “penunggang motosikal sosialis,” dan stesen televisyen awam.
“Untuk mempertahankan diri daripada gringo,” kata Cik Victoria, 16 tahun, anggota kumpulan politik pro-kerajaan Futuro. Dia hadir bersama rakan-rakan remaja. “Kalau perlu, dengan penumbuk kami sendiri,” tambah Encik Maikel, 20 tahun, yang enggan mendedahkan nama penuh.
Di lapang sasar, sebuah kereta kebal bertulis “Kemerdekaan atau Tidak Ada Apa-Apa” menyambut sukarelawan. Seorang pegawai tentera berteriak: “Saya perlukan orang yang benar-benar komited, sanggup mengangkat senjata dan menentang musuh kita!”
Latihan ini turut menarik warga emas. Seorang lelaki tua berpakaian celoreng hadir dengan bantuan alat berjalan. Di Cuartel de la Montana 4F, lokasi makam bekas Presiden Hugo Chavez puluhan lagi rakyat Venezuela belajar mengendalikan senapang AK-47 dan pistol, selain diberi kuliah tentang pencerobohan Amerika ke Panama pada 1989/90.
“Saya datang untuk belajar tentang senjata dan taktik mempertahankan negara,” kata Jenny Rojas, peguam berusia 54 tahun. “Jika AS cuba menyerang tanah air, seluruh rakyat akan bangkit mempertahankannya!” katanya penuh semangat.
Menurut laporan ketenteraan, militia Venezuela kini berjumlah sekitar 212,000 orang, selain 123,000 tentera profesional.
“Inilah bukti bahawa sesiapa sahaja mampu menggunakan senjata,” kata jurulatih Oviedo Godoy. “Jika Amerika datang, rakyat sudah bersedia. Kami sudah dilatih!”
Pentadbiran Presiden Donald Trump meningkatkan kehadiran ketenteraan di Caribbean atas alasan memerangi penyeludupan dadah. Bagaimanapun, serangan udara yang membunuh 11 orang warga Venezuela awal bulan September mendapat kecaman hebat, termasuk daripada anggota Kongres Amerika sendiri yang menuntut penjelasan.
Pemerintah Venezuela menolak dakwaan Washington bahawa mangsa merupakan anggota geng Tren de Aragua. Caracas menegaskan mereka hanyalah nelayan biasa.
Encik Trump pula, ketika ditanya mengenai tuduhan Encik Maduro bahawa Amerika sedang berusaha melakukan “pertukaran rejim melalui ancaman ketenteraan,” menafikan perkara itu.
“Kita tidak bercakap mengenai itu, tetapi mengenai fakta bahawa anda mengadakan pilihan raya yang agak pelik,” katanya merujuk pilihan raya 2024 yang didakwa dimenangi Encik Maduro tetapi tidak diiktiraf pembangkang dan sekutu Barat.
Ketegangan terbaru ini dianggap ujian besar buat Encik Maduro, yang sering menuduh Amerika cuba menggulingkannya dengan menyokong pihak pembangkang. Beliau mendakwa setiap tindakan tentera Amerika di Caribbean hanyalah helah untuk mencetuskan “insiden” yang boleh dijadikan alasan bagi campur tangan.
Bagi penyokong Encik Maduro, ancaman itu nyata. Mereka percaya hanya dengan memperkasakan militia, Venezuela mampu mempertahankan kedaulatannya.
Namun bagi pengkritik, langkah ini hanya memperdalamkan ketakutan, memperkukuh kuasa autoritarian, dan menambah penderitaan rakyat dalam krisis ekonomi yang sudah lama menghimpit negara.
Di jalanan Caracas, semangat patriotik bercampur dengan kegelisahan. “Kami mahu keamanan, tetapi jika mereka datang menyerang, kami akan bertempur,” kata seorang sukarelawan muda yang baru selesai latihan menembak.
Dengan ribuan rakyat kini bersenjata di bawah payung militia, Venezuela bersiap siaga menghadapi apa yang digambarkan Encik Maduro sebagai ancaman asing. Dunia pula memerhati sama ada konflik retorik ini akan berubah menjadi pertembungan sebenar di Caribbean. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg