DHAKA: Kira-kira 10,000 umat Islam berhimpun di Dhaka, Bangladesh kelmarin untuk menyatakan bantahan susulan kenyataan berbentuk penghinaan dibuat oleh pegawai dari parti pemerintah India mengenai Nabi Muhammad saw.
Tindakan mantan pegawai parti Bharatiya Janata (BJP), Cik Nupur Sharma, mencetuskan ketegangan diplomatik terhadap pemerintah India.
Memetik laporan Al Jazeera, protes berlaku di Dhaka ketika umat Islam berarak sambil membawa sepanduk dan melaungkan slogan bantah pemerintah serta gesaan supaya Cik Sharma ditahan segera.
Pihak berkuasa di India telah mengarahkan supaya kawalan keselamatan dipertingkat di beberapa wilayah untuk solat Jumaat selepas dua orang ditembak mati dalam protes di sana minggu lalu, lapor media tempatan.
Jumaat lalu, umat Islam di India, Bangladesh dan Pakistan berhimpun beramai-ramai ke jalan raya berikutan komen jurucakap parti pemerintah India pada 26 Mei lalu.
Di New Delhi, sejumlah besar penduduk berkumpul di luar Masjid Jama di ibu kota lama dan melaungkan slogan menentang pemerintah parti BJP.
Protes serupa berlaku di beberapa negeri lain di India termasuk Benggala Barat dan Telangana.
Pemerintah di hampir 20 negara telah memanggil duta India untuk mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan Cik Sharma itu.
Melaungkan slogan seperti "Umat Islam dunia bersatu!", penunjuk perasaan Bangladesh berhimpun di hadapan masjid terbesar Dhaka dan cuba berarak ke kedutaan India sebelum disekat polis.
"Terdapat kira-kira 10,000 orang berarak. Mereka aman," kata pegawai kanan polis, Encik Enamul Haq, kepada AFP.
Protes kelmarin dianjurkan oleh Islami Andolan Bangladesh, sebuah parti politik Islam terbesar di Bangladesh.
Kira-kira 150,000 orang membuat tunjuk perasaan Jumaat lalu di bandar-bandar utama Bangladesh, termasuk 20,000 di ibu negara Dhaka dan ribuan lagi di bandar-bandar dan di universiti.
Seorang peguam warga Bangladesh dilaporkan menghina Nabi Muhammad saw di media sosial kelmarin, menambahkan lagi ketegangan sedia ada di seluruh negara itu.
Hantaran di Facebook itu tular di media sosial ketika negara Asia Selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam berang terhadap kenyataan menghina Nabi Muhammad saw oleh dua pegawai BJP minggu lalu, lapor agensi Anadolu.
Peguam lain yang mengadakan bantahan besar-besaran di Mahkamah Agung Bangladesh, tempat peguam itu bekerja, turut merosakkan pejabatnya.
Mereka turut mengadakan perhimpunan mendesak peguam itu segera dihukum, manakala Majlis Peguam Mahkamah Agung Bangladesh sudah pun menggantung keahlian peguam terbabit.
Dalam masa yang sama, Amerika Syarikat mengecam tindakan pegawai parti pemerintah India yang menghina Naib Muhammad saw sehingga membangkitkan kemarahan negara Islam.
"Kami mengutuk kenyataan dibuat oleh pegawai BJP dan kami lega parti terbabit mengutuk kenyataan dibuat pegawainya secara terbuka.
"Kami sentiasa berurusan dengan pemerintah India di peringkat tertinggi berhubung hak asasi manusia termasuk kebebasan beragama atau kepercayaan dan kami menggalakkan India supaya menghormati hak asasi manusia," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Ned Price. - Agensi berita.
"Kami mengutuk kenyataan dibuat oleh pegawai BJP dan kami lega parti terbabit mengutuk kenyataan dibuat pegawainya secara terbuka. Kami sentiasa berurusan dengan pemerintah India di peringkat tertinggi berhubung hak asasi manusia termasuk kebebasan beragama atau kepercayaan dan kami menggalakkan India supaya menghormati hak asasi manusia." - Encik Ned Price, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg