CHICAGO: Ribut debu yang mengurangkan darjah penglihatan kepada hampir sifar pada Isnin menyebabkan kemalangan berantai melibatkan puluhan kenderaan di lebuh raya Illinois, mengorbankan enam orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 24 lagi, kata polis negeri dan pegawai koroner.
Sekitar 40 hingga 60 kereta penumpang dan kira-kira 20 kenderaan komersial, termasuk beberapa treler traktor, terlibat dalam kemalangan sekitar 11 pagi itu di Interstate 55 di selatan Illinois, kata seorang pegawai polis negeri di satu sidang media.
Lebih 30 orang telah dihantar ke hospital dengan kecederaan, dan terdapat "beberapa kematian", kata pegawai itu.
Dua lori terbakar akibat rempuhan tersebut dan berkemungkinan salah satu daripadanya meletup, katanya.
Ketua timbalan Pejabat Koroner Daerah Montgomery, Cik Joletta Hill, kemudian mengesahkan melalui telefon bahawa sekurang-kurangnya enam orang disahkan maut akibat kemalangan itu.
Pegawai polis negeri berkata kemalangan berantai dekat bandar Farmersville yang terletak sekitar 320 kilometer barat daya Chicago itu disebabkan oleh "angin keterlaluan yang meniup debu dari ladang merentas lebuh raya, mengakibatkan darjah penglihatan sifar".
Sepanjang 27 kilometer lebuh raya itu ditutup di kedua-dua arah selama beberapa jam kemudian, kata polis negeri. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg