Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Roket tersilap sasaran jatuh di Poland, dua maut

Nov 17, 2022 | 05:30 AM



WARSAW: Sebuah roket jatuh di perkampungan Przewodow, Poland, yang terletak berdekatan sempadan Ukraine, mengorbankan dua orang, menurut Kementerian Pertahanan Poland, semalam.



Jurucakap kerajaan Poland, Encik Piotr Mueller, memaklumkan pemimpin tertinggi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) kini sedang mengadakan mesyuarat tergempar berkenaan krisis itu.



Seorang pegawai Nato berkata, perikatan itu sedang mengadakan penyelarasan yang rapat dengan Poland.



Kementerian Pertahanan Poland memanggil duta Russia bagi mendapatkan penjelasan, selepas Moscow nafi ia bertanggungjawab.



Media melaporkan roket itu meletus di kemudahan pengeringan bijirin.



Menurut pegawai AS, dapatan awal mendapati peluru berpandu yang meletus di Poland sebenarnya telah dilancarkan oleh tentera Ukraine sebagai respons untuk menembak jatuh peluru berpandu Russia yang dilancarkan ke arah mereka.



Ini sekaligus memberi tamparan kepada dakwaan Ukraine dan Nato yang awalnya menyatakan roket yang jatuh itu milik Russia.



Dalam perkembangan berasingan, menurut Rumah Putih, Presiden Amerika Syarikat (AS), Encik Joe Biden, menegaskan negaranya menyokong penuh siasatan Poland berhubung letupan yang meragut dua nyawa.



Encik Biden menyampaikan sokongan itu kepada Presiden Poland, Andrzej Duda.



"Presiden (Encik Biden) menawarkan sokongan penuh AS dan sedia membantu penyiasatan Poland," kata Rumah Putih selepas kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan.



Encik Biden telah mengadakan satu mesyuarat dengan beberapa pemimpin yang berhimpun di Bali, Indonesia, yang menghadiri sidang puncak G20 bagi membincangkan insiden tersebut.



Sementara itu, Perdana Menteri Poland, Encik Mateusz Morawiecki, menggesa rakyatnya "untuk kekal tenang".



Perkara itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Britain, Encik Rishi Sunak, yang memaklumkan negaranya sedang meneliti segera laporan serangan peluru berpandu di Poland dan menyatakan akan menyokong sekutunya memperoleh maklumat apa sebenarnya berlaku.



"Kami juga sedang menyelaraskan dengan rakan kongsi antarabangsa kami termasuk Nato," katanya.



Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, dilaporkan telah menzahirkan ucapan takziah kepada Presiden Poland berhubung "keganasan peluru berpandu" yang didakwanya dilancarkan oleh Russia.



"Kami merakamkan takziah atas kematian warga Poland akibat keganasan peluru berpandu Russia. Kami bertukar maklumat yang ada dan menjelaskan semua fakta.



"Ukraine, Poland, seluruh Eropah dan dunia mesti dilindungi sepenuhnya daripada pengganas Russia," menurut Encik Zelensky menerusi Twitter.



Sementara itu, Menteri Pertahanan Ukraine, Encik Oleksiy Reznikov yang turut memberi maklum balas kepada laporan itu mengatakan, itu adalah realiti yang kerap negaranya tekankan sebagai amaran.



"Perkara ini yang kami sering beri amaran. Kami meminta untuk menutup ruang udara kerana ia tiada sempadan.



"Ramai bertengkar atau bersaing tanpa mengambil kira tindakan atau perasaan masing-masing. Semua hanya mahu menang," katanya.



Russia melancarkan operasi besar-besaran terhadap kemudahan sumber tenaga di seluruh Ukraine kelmarin, menyebabkan penduduk terputus bekalan elektrik.



Jurucakap Pentagon, Brigadier Jeneral Pat Ryder, berkata Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) dimaklumkan mengenai tragedi itu.



Dalam pada itu Presiden Zelenskyy memaklumkan Russia melancarkan sekurang-kurangnya 85 peluru berpandu menyasarkan kemudahan sumber tenaga, menyebabkan penduduk di kebanyakan bandar negara itu terputus bekalan elektrik.



Menurut Kementerian Tenaga Ukraine, serangan ke atas fasiliti tenaga itu yang terbesar sejak pencerobohan Russia bermula sembilan bulan lalu.



Serangan sebelum ini memusnahkan kira-kira 40 peratus infrastruktur tenaga di Ukraine. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >