Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rombakan kabinet India: Menteri baru kesihatan, IT, minyak

Jul 9, 2021 | 5:30 AM
48974d84-61d8-4f05-9e69-ebf1a187a663
-

NEW DELHI: Perdana Menteri India Narendra Modi melantik menteri persekutuan baru bagi kesihatan, IT dan minyak kelmarin.

Ini merupakan sebahagian daripada satu rombakan untuk menyuntik nafas baru kepada pemerintahnya di tengah-tengah kritikan hebat yang dilontarkan terhadapnya berhubung cara mereka menangani pandemik koronavirus sekarang.

Encik Modi melantik Encik Mansukh Laxman Mandaviya sebagai menteri kesihatan baru negara itu beberapa jam selepas Encik Harsh Vardhan, yang menerajui usaha pemerintah memerangi Covid-19, disuruh mengundur diri bersama timbalannya.

Pemerintah Encik Modi menghadapi kritikan hebat akibat pelancaran kempen vaksinasi di serata negara yang diadakan secara tidak teratur.

Malah menurut pakar, ini telah menyumbang menjadikan kesan gelombang kedua jangkitan Covid-19 lebih teruk hingga meragut nyawa ratusan ribu penduduk.

Jumlah kematian rasmi selepas bilangan kes jangkitan Covid-19 melonjak pada April dan Mei lalu melepasi paras 400,000 kes minggu lalu.

Menurut pakar, jumlah kematian sebenar mungkin lebih tinggi dan terdapat kebimbangan gelombang ketiga boleh berlaku tidak lama lagi sedang jutaan penduduk masih belum divaksinasi.

Encik Mandaviya, yang berasal dari Gujarat, merupakan menteri junior sebelum ini dalam kementerian pelabuhan, kimia dan baja.

Beberapa anggota Parti Bharatiya Janata (BJP) mengangkat sumpah di istana presiden untuk menggantikan 12 menteri yang dipecat dalam rombakan kabinet pertama oleh Encik Modi sejak beliau diundi semula pada 2019, dengan menjanjikan untuk mengubah India menjadi kuasa politik dan ekonomi.

Pemimpin pembangkang P. Chidambaram berkata langkah memecat menteri kesihatan dan timbalannya menunjukkan bahawa pemerintah Encik Modi telah gagal menangani pandemik ini.

"Terdapat pengajaran bagi para menteri susulan peletakan jawatan ini.

"Sekiranya perkara berjalan lancar, Perdana Menteri yang akan mendapat kredit tetapi jika tidak, menteri yang akan menghadapi akibatnya," ujarnya.

Sementara itu, Encik Modi melantik Encik Ashwini Vaishnaw sebagai Menteri Penerangan dan Teknologi baru selepas memecat Encik Ravi Shankar Prasad ketika beliau sedang menerajui usaha pemerintah berunding dengan syarikat besar media sosial Amerika Syarikat untuk menuruti undang-undang negara itu.

Dengan harga minyak yang tinggi, Encik Hardeep Singh Puri telah dilantik sebagai menteri minyak, menggantikan Encik Dharmendra Pradhan. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg