Topik diikuti
Pergi ke BHkuRumah Sukarno isytihar kemerdekaan Indonesia dibina semula
Jakarta turut lancar penulisan semula sejarah negara sempena Hari Kemerdekaan 17 Ogos
JAKARTA: Pemerintah Indonesia akan membina semula rumah bersejarah di Jalan Pegangsaan Timur No. 56 di Jakarta – lokasi Presiden pertama Indonesia, Allahyarham Sukarno, membacakan Proklamasi Kemerdekaan pada 17 Ogos 1945.
Ia sekali gus menghidupkan semula salah satu mercu tanda paling penting dalam sejarah negara itu lebih enam dekad selepas bangunan asal dirobohkan.
Menteri Kebudayaan Indonesia, Encik Fadli Zon, berkata kerja pembinaan semula akan dimulakan dalam masa terdekat dengan reka bentuk yang mengekalkan seni bina serta struktur asal rumah berkenaan.
Beliau berkata bangunan baharu itu akan dibina sebaik mungkin menyerupai rumah asal bagi membolehkan generasi muda memahami detik bersejarah kelahiran Republik Indonesia.
“Ini ialah ikon nasional yang sangat penting. Kami mahu membinanya semula setepat mungkin mengikut reka bentuk asal,” katanya kepada media di Jakarta pada 5 Ogos.
Rumah di Jalan Pegangsaan Timur No. 56 menjadi lokasi Allahyarham Sukarno membacakan teks Proklamasi Kemerdekaan Indonesia bersama Encik Mohammad Hatta pada pagi 17 Ogos 1945, menandakan berakhirnya penjajahan dan kelahiran negara republik itu.
Namun, rumah berkenaan dirobohkan pada awal 1960-an atas arahan Allahyarham Sukarno sendiri.
Sejak itu, beberapa monumen dan tugu peringatan dibina di kawasan tersebut sehingga tiada lagi peninggalan fizikal rumah asal.
Menurut Encik Fadli, bangunan yang dibina semula nanti akan dijadikan muzium bagi memaparkan sejarah penyediaan teks proklamasi, suasana pengisytiharan kemerdekaan serta perjalanan awal pembentukan negara Indonesia.
Beliau berkata muzium itu akan menggunakan pendekatan moden termasuk teknologi interaktif dan pameran imersif bagi membolehkan pengunjung merasai sendiri pengalaman detik bersejarah tersebut.
“Kami mahu orang ramai bukan sekadar melihat sejarah, malah turut merasainya menerusi pelbagai pengalaman interaktif di muzium,” katanya.
Pemerintah menyasarkan projek pembinaan semula itu siap sepenuhnya menjelang penghujung 2026.
Cadangan membina semula rumah bersejarah itu sebenarnya sudah dikemukakan oleh ramai sejarawan dan tokoh masyarakat sejak beberapa dekad lalu, termasuk ketika era pemerintahan Presiden Suharto.
Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak pernah diluluskan oleh beberapa pentadbiran terdahulu, termasuk ketika pemerintahan mantan Presiden Megawati Sukarnoputri, anak kepada Allahyarham Sukarno.
Dalam perkembangan berasingan, Encik Fadli turut mengesahkan projek penulisan semula sejarah rasmi Indonesia kini berada di peringkat akhir sebelum diterbitkan pada Ogos ini.
Beliau berkata manuskrip akhir bagi projek yang mengandungi 10 jilid itu kini hanya melalui proses semakan gambar serta susun atur halaman.
“Kami kini hanya berdepan sedikit cabaran mendapatkan gambar asal dan menyelesaikan isu hak cipta sebelum penerbitan,” katanya.
Menurut beliau, kementerian sedang bekerjasama dengan beberapa institusi yang memiliki arkib sejarah, termasuk agensi berita, Antara, serta organisasi lain bagi mendapatkan bahan visual yang diperlukan.
Pemerintah merancang melancarkan buku sejarah baharu itu sekitar sambutan ulang tahun kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos ini.
Projek berkenaan bagaimanapun terus mengundang kontroversi sejak diumumkan pada 2025.
Ramai sejarawan dan pertubuhan hak asasi manusia mempersoalkan sama ada beberapa peristiwa sensitif dalam sejarah Indonesia akan dihuraikan secara adil atau diketepikan.
Pelancaran buku itu pada asalnya dijadualkan pada 17 Ogos 2025, namun ditangguhkan selepas menerima kritikan terhadap kandungan draf serta pendekatan pemerintah dalam mengendalikan beberapa peristiwa sejarah.
Antara isu paling mendapat perhatian ialah cara rusuhan Mei 1998 yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan Presiden Suharto dibincangkan dalam buku berkenaan.
Kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak kerana Pasukan Gabungan Pencari Fakta (TGPF) yang dibentuk pemerintah selepas rusuhan berkenaan telah mendokumentasikan puluhan kes keganasan seksual.
Pertubuhan hak asasi manusia memberi amaran bahawa mengurangkan atau mengabaikan episod tersebut boleh dianggap sebagai usaha memadamkan rekod pencabulan hak asasi manusia daripada sejarah rasmi negara.
Amnesty International Indonesia turut mengkritik projek itu kerana bimbang penekanan terhadap naratif sejarah yang lebih positif akan menenggelamkan pelanggaran hak asasi manusia yang pernah berlaku.
Bagaimanapun, Encik Fadli menegaskan matlamat utama projek penulisan semula sejarah bukan untuk menafikan mana-mana peristiwa, sebaliknya menghasilkan naratif yang lebih menyeluruh berdasarkan penyelidikan akademik.
Beliau berkata sejarah baharu itu disediakan dengan penglibatan sejarawan dan sarjana dari pelbagai institusi bagi memastikan kandungannya lebih lengkap dan selaras dengan perkembangan kajian semasa.
Menurutnya, pendekatan itu juga bertujuan mengukuhkan perpaduan nasional tanpa mengabaikan fakta sejarah yang dapat dipertanggungjawabkan.
Penganalisis melihat pembinaan semula rumah Proklamasi dan penerbitan sejarah rasmi baharu mencerminkan usaha pemerintah Indonesia memperkukuhkan identiti kebangsaan menjelang ulang tahun kemerdekaan negara.
Namun, kedua-dua inisiatif itu dijangka terus menjadi perhatian kerana berkait rapat dengan tafsiran sejarah serta memori kolektif rakyat Indonesia. – Agensi berita.
