MOSCOW: Russia dan Ukraine gagal mencapai sebarang huraian dalam perbincangan seharian mereka dengan pegawai-pegawai Perancis dan German yang bertujuan menamatkan pertikaian selama lapan tahun dengan kumpulan pemisah di timur Ukraine.

Ketiadaan sebarang kemajuan dalam rundingan itu juga menandakan segala usaha untuk mengendurkan ketegangan krisis Ukraine pudar.

Sekaligus tindakan Russia mengerahkan lebih 100,000 askarnya dekat sempadan Ukraine menimbulkan kebimbangan akan tercetusnya peperangan.

Perwakilan Russia, Encik Dmitry Kozak, memberi taklimat lewat malam kelmarin selepas rundingan yang berlangsung di Berlin bahawa tidak mungkin akan tercapai sebarang persetujuan antara Russia dan Ukraine berhubung perselisihan mereka terhadap perjanjian 2015 yang bertujuan menamatkan pertempuran antara kumpulan pemisah pro-Russia dengan tentera Ukraine.

"Kami tidak berhasil menangani hal ini," katanya.

Perwakilan Ukraine, Encik Andriy Yermak, berkata tiada sebarang penyelesaian daripada kededua pihak tetapi mereka saling bersetuju untuk meneruskan rundingan.

"Saya berharap kita akan mengadakan pertemuan lagi secepat mungkin dan meneruskan rundingan. Masing-masing bersungguh-sungguh untuk mencapai satu keputusan," ujarnya.

Konflik di dua wilayah yang telah terpisah iaitu Donetsk dan Luhansk yang dikenali sebagai Donbass, masih membara sekalipun sudah ada gencatan senjata.

Para pemerhati dari Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) sering mendapati berlakunya keganasan, yang kadangkala sampai beratus kejadian dalam sehari.

Ukraine menyatakan sekitar 15,000 orang telah terbunuh sejak 2014.

Para perwakilan Russia, Ukraine, OSCE dan dua wilayah pemisah itu telah memeterai satu perjanjian 13-perkara pada Februari 2015 di Minsk, yang turut disokong oleh para pemimpin dari Perancis dan German.

Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov menuduh Ukraine kelmarin kerana cuba mengubah perjanjian tersebut dan mengekalkan hanya perkara-perkara yang lebih berpihak kepada mereka.

Namun, Ukraine pula berkata mereka tetap komited terhadap perjanjian tersebut.

"Ukraine siap untuk mengadakan dialog yang membina. Setiap orang hari ini mengesahkan bahawa kita sudah ada perjanjian Minsk dan perlu dipatuhi," kata Encik Yermak.

Ukraine menolak akuan Moscow yang menyatakan mereka tidak ada kena mengena dengan konflik tersebut, padahal tentera Russia berada di Ukraine dan sama-sama berjuang dengan pasukan kumpulan pemisah.

Kyiv enggan berunding dengan ketua-ketua wilayah pemisah itu tetapi Presiden Volodymyr Zelenskiy menyarankan supaya diadakan rundingan langsung dengan pemimpin Russia, Presiden Vladimir Putin, tetapi sehingga kini Kremlin masih enggan.

Russia menafikan kononnya mereka merancang untuk menawan Ukraine tetapi menyatakan yang ia ingin menegaskan bahawa negara bekas sekutu Soviet itu tidak menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan persekutuan itu juga tidak membangunkan pangkalan peluru berpandu mereka di situ. - Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti