MOSCOW: Russia mengadakan latihan ketenteraan besar-besaran dengan melibatkan China dan India, sedang Presiden Vladimir Putin cuba menolak percubaan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya untuk menyisihkannya gara-gara tindakan menyerang Ukraine.
Lebih 50,000 tentera dan 5,000 peralatan ketenteraan, termasuk lebih 140 pesawat dan 60 kapal perang, akan menyertai latihan perang Vostok-2022 selama seminggu itu, bermula semalam di timur-jauh Russia, termasuk latihan angkatan laut di Laut Jepun atau Laut Timur.
Latihan yang kerap diadakan itu melibatkan sama negara-negara anggota dan negara rakan Pertubuhan Kerjasama Shanghai dan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Berkumpulan yang dipimpin Russia.
Sekalipun Amerika telah memujuk India untuk menjadi rakan pertahanan dan menggesanya agar tidak melanggar sekatan antarabangsa ke atas Russia gara-gara perang di Ukraine, pemerintah New Delhi tetap menghantar 75 askarnya menyertai latihan tersebut.
Ini termasuk pasukan Gurkha dan tentera yang mewakili angkatan laut dan udara, sekalipun tidak mengirim peralatan tentera laut dan udara ke Russia.
India, yang pernah menyertai latihan serupa itu sebelumnya, cuba mengelak daripada menyebelahi mana-mana pihak dalam isu perang Russia dan Ukraine itu kerana ia bergantung kepada Moscow selaku pembekal utama senjata, di tengah-tengah ketegangan sempadannya dengan China dan Pakistan.
Walaupun demikian, negara di selatan Asia itu mengundi menentang Russia tentang isu peperangan di Ukraine itu buat pertama kali semasa pengundian minggu lalu di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi laluan kepada Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, menyampaikan ucapan melalui video kepada badan dunia itu.
India turut menangguhkan usaha samanya untuk membina helikopter dan menangguhkan juga satu lagi rancangan membeli sekitar 30 jet pejuang dari Russia.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan di Beijing mengatakan tentera darat, udara dan angkatan lautnya menyertai latihan tersebut, yang bertujuan memperkukuh penyelenggaraan ketenteraan.
Akhbar Global Times yang disokong Parti Komunis China berkata latihan-latihan pada tahun ini akan tertumpu kepada kemungkinan ancaman, terutama daripada Amerika di rantau Pasifik.
China enggan mengkritik Russia atas tindakan menyerang Ukraine, malah mengutuk Amerika dan Eropah yang mengenakan sekatan terhadap Moscow.
Tetapi ia tidak pula memihak kepada Encik Putin untuk membekalkan teknologi dan peralatan perang demi mengelak daripada menghadapi risiko sekatan Amerika.
"Peranan China dalam latihan itu "tidak harus dilihat sebagai menyokong" Russia dalam konflik dengan Ukraine," kata Encik Vasily Kashin, pakar ketenteraan Russia dari Sekolah Tinggi Ekonomi Moscow.
"Ia hanya menunjukkan kepada kita semua bahawa hubungan tentera dengan tentera masih berjalan seperti biasa."
Sekutu Russia, Belarus, juga turut menyertai latihan Vostok-2022 itu bersama bekas negara republik Soviet - Kazakhstan, Kyrgyzstan, Armenia, Azerbaijan dan Tajkistan - serta lain negara termasuk Syria, Algeria, Mongolia, Laos dan Nicaragua. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg