KYIV: Tentera Russia mengebom ibu negara Ukraine lewat kelmarin semasa lawatan Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, yang mengecam tindakan berperang sebagai "tidak munasabah" pada abad ke-21.
Ini sedang Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden meminta sokongan bernilai AS$33 bilion ($46 bilion) untuk menyokong Kyiv.
Sekurang-kurangnya tiga orang cedera dalam serangan di bahagian barat bandar itu, yang merupakan yang pertama di ibu negara dalam tempoh hampir dua minggu, dan berlaku selepas Encik Guterres melawat Bucha dan pinggir bandar lain di mana Moscow didakwa melakukan jenayah perang.
Pendakwa raya Ukraine berkata mereka sedang menyiasat 10 askar Russia kerana disyaki melakukan kekejaman di Bucha, yang menyaksikan puluhan mayat orang awam selepas Moscow berundur, dan telah mengenal pasti lebih 8,000 kes yang dipercayai adalah jenayah perang.
Kes-kes itu melibatkan "membunuh orang awam, mengebom infrastruktur awam, penyeksaan" dan "jenayah seksual" yang dilaporkan semasa pendudukan Russia di pelbagai bahagian di Ukraine, kata ketua pendakwa, Cik Iryna Venediktova kepada saluran TV Jerman.
Di Washington, Encik Biden menggesa penggubal undang-undang Amerika supaya meluluskan pakej bantuannya yang besar, serta mencadangkan undang-undang baru untuk membenarkan penggunaan aset mewah yang dirampas daripada oligarki Russia untuk membayar pampasan kepada Ukraine bagi kerosakan yang berlaku sejak Moscow menyerang pada 24 Februari.
"Kos perjuangan ini tidak murah. Tetapi menyerah kepada pencerobohan akan menjadi lebih mahal jika kita membenarkannya berlaku," kata Presiden Biden.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky memuji cadangan Encik Biden itu sebagai langkah penting dan perlu.
Satu letupan kuat telah menggegarkan ibu negara Ukraine pada kira-kira 1.15 pagi Jumaat waktu Singapura, menyebabkan kenderaan kecemasan bergegas ke arah kawasan perumahan di bahagian barat pusat itu dalam serangan yang menggegarkan ketua PBB dan pasukannya.
Perkhidmatan kecemasan berkata, satu letupan telah mengena sebuah blok kediaman 25 tingkat, serta memusnahkan sebahagian daripada dua tingkat bangunan itu.
Sementara itu, wartawan AFP turut melihat sebuah bangunan bertingkat rendah terbakar, dengan asap hitam berkepulan dan penyelamat di tempat kejadian.
Sebanyak 12 trak bomba telah memadamkan api kebakaran, dengan penyelamat mengesahkan 10 orang cedera dalam serangan itu.
Ini menjadikan jumlah korban sebelum ini seramai tiga orang, menurut laporan.
Datuk Bandar Kyiv, Encik Vitali Klitschko berkata terdapat dua serangan di daerah Shevchenkovsky dan salah satu daripadanya menimpa tingkat bawah bangunan kediaman tersebut.
Pasukan PBB digegarkan dengan serangan itu tetapi seorang jurucakap mengesahkan kesemua mereka "selamat".
"Ia adalah zon perang tetapi ia mengejutkan bahawa ia telah berlaku berdekatan dengan kami," kata Encik Saviano Abreu, jurucakap pejabat kemanusiaan PBB kepada AFP, tanpa menyatakan betapa hampirnya mereka kepada tempat kejadian. - AFP.
"Kos perjuangan ini tidak murah. Tetapi menyerah kepada pencerobohan akan menjadi lebih mahal jika kita membenarkannya berlaku." - Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg