Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Russia dakwa tawan Bakhmut, Ukraine kata 'tidak benar'

May 22, 2023 | 05:30 AM



BAKHMUT: Russia pada Sabtu mendakwa ia telah menawan sepenuhnya bandar Bakhmut di timur Ukraine, yang akan menandakan berakhirnya pertempuran paling lama dan paling berdarah dalam perang 15 bulan itu.



Serangan ke atas bandar yang sebahagian besarnya diratakan itu diketuai tentera dari askar upahan Kumpulan Wagner, yang ketuanya, Encik Yevgeny Prigozhin, berkata awal hari itu tenteranya akhirnya telah mengusir warga Ukraine keluar dari kawasan binaan terakhir di dalam bandar itu.



Mengambil Bakhmut - yang Russia panggil dengan nama Artyomovsk dari era Soviet - akan melambangkan kemenangan besar pertama Moscow dalam konflik itu dalam tempoh lebih 10 bulan.



"Hasil tindakan unit serangan Wagner, disokong oleh artileri dan penerbangan Kumpulan Pasukan Selatan, pembebasan Artyomovsk telah selesai," kata kementerian pertahanan Russia dalam satu kenyataan sebaris.



Kyiv menafikan dakwaan Encik Prigozhin pada awal Sabtu, tetapi tidak memberi tindak balas segera terhadap kenyataan kementerian pertahanan itu.



Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, mengucapkan tahniah kepada tentera kerana menawan bandar itu dan berkata mereka yang telah menonjolkan diri mereka akan diberi anugerah, lapor agensi berita setempat Russia.



Dakwaan itu dikeluarkan seminggu selepas tentera Ukraine meraih kejayaan paling cepat selama enam bulan di bahagian utara dan selatan Bakhmut.



Encik Prigozhin, yang telah berulang kali mengecam tentera tetap Russia kerana meninggalkan kawasan yang ditawan lebih awal oleh askarnya, berkata tenteranya sendiri akan berundur dari Bakhmut dalam masa lima hari untuk berehat, menyerahkan runtuhan itu kepada tentera tetap.



"Hari ini, pada 12 tengah hari, Bakhmut telah diambil sepenuhnya," kata Encik Prigozhin dalam video yang menunjukkan beliau muncul dalam pakaian pertempuran di hadapan barisan pejuang yang memegang bendera Russia dan sepanduk Wagner. "Kami mengambil seluruh bandar, dari rumah ke rumah."



Jurucakap tentera Ukraine, Encik Serhiy Cherevatyi, ketika memberi tindak balas terhadap komen Encik Prigozhin sebelum pengumuman Russia, telah memberitahu Reuters: "Ini tidak benar. Unit kami bertempur di Bakhmut."



Sama ada tentera Ukraine telah meninggalkan Bakhmut atau tidak, mereka perlahan-lahan berundur ke dalamnya, ke gugusan bangunan di pinggir barat bandar itu.



Sementara itu, di utara dan selatan, mereka telah merampas sebahagian besar wilayah daripada tentera Russia.



Russia telah mengakui kehilangan sedikit kawasan di sekitar Bakhmut pada minggu lalu, sambil menafikan dakwaan Encik Prigozhin bahawa kawasan di sekitar bandar yang dikawal oleh tentera tetap telah musnah. - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >