Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Russia gagal kuasai perang siber ke atas Ukraine: Ketua risik Britain

Ketua PBB, presiden Turkey dan Ukraine adakan pertemuan cari huraian perang, lindungi stesen janakuasa nuklear yang jadi sasaran bedilan
Aug 20, 2022 | 5:30 AM
CUBA TAMATKAN PERANG: (Dari kiri) Encik Erdogan, Encik Zelensky dan Encik Guterres bertemu di Lviv, Ukraine, untuk membincangkan cara menamatkan konflik perang di Ukraine selain usaha melindungi stesen janakuasa nuklear terbesar di Eropah, yang telah diserang di barisan depan. - Foto AFP
CUBA TAMATKAN PERANG: (Dari kiri) Encik Erdogan, Encik Zelensky dan Encik Guterres bertemu di Lviv, Ukraine, untuk membincangkan cara menamatkan konflik perang di Ukraine selain usaha melindungi stesen janakuasa nuklear terbesar di Eropah, yang telah diserang di barisan depan. - Foto AFP -

LONDON: Russia masih gagal menguasai perang siber dalam perangnya ke atas Ukraine - hampir enam bulan selepas menceroboh negara jirannya itu, menurut ketua perkhidmatan perisikan (GCHQ) Britain.

Ketua agensi perisikan itu, Encik Jeremy Fleming, menulis dalam akhbar The Economist, kedua-dua negara telah menggunakan keupayaan siber masing-masing dalam perang tersebut.

"Setakat ini, Presiden (Vladimir) Putin secara menyeluruh tidak dapat menguasai perang maklumat di Ukraine dan di Barat.

"Walaupun ini boleh diraikan, kita tidak seharusnya memandang remeh bagaimana maklumat salah Russia menjadi pengaruh besar di tempat lain di dunia," tulis Encik Fleming.

"Sama seperti pencerobohan awalnya, rancangan perang dalam talian Russia nampaknya juga gagal. Penggunaan alat siber negara itu adalah tidak bertanggungjawab dan sembarangan."

Encik Fleming berkata Russia telah menggunakan perisian hasad WhisperGate untuk memusnahkan dan merosakkan sistem dalam talian pemerintah Ukraine.

Beliau juga berkata Russia telah menggunakan cara sama sebelum ini semasa di perang Syria dan Balkan dan berkata maklumat salah dalam talian adalah sebahagian besar strategi Kremlin.

Namun, GCHQ telah dapat memintas dan memberi amaran tepat pada masanya, katanya.

Tanpa memberi perincian, Encik Fleming berkata Pasukan Siber Nasional Britain boleh bertindak balas terhadap Russia dengan mengerahkan unit tentera Britain yang menggunakan alat siber moden.

Sementara itu di Lviv, ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan presiden Turkey dan Ukraine kelmarin membincangkan cara menamatkan konflik Kyiv dengan Russia selain usaha melindungi stesen janakuasa nuklear terbesar di Eropah, yang telah diserang di barisan depan.

Bercakap dengan pemberita selepas perbincangan di bandar itu, Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, berkata beliau amat prihatin dengan keadaan di loji nuklear Zaporizhzhia itu dan menggesa peralatan dan kakitangan tentera diundurkan.

Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, pula berkata beliau, Encik Guterres dan Presiden Volodymyr Zelensky bagi Ukraine, telah berbincang cara membina suasana positif baru-baru ini untuk menghidupkan semula rundingan damai dengan Russia yang sebelum ini diadakan di Istanbul pada Mac lalu.

Dalam satu perjanjian yang diuruskan PBB dan Turkey, kededua pihak baru-baru ini mencapai persetujuan bagi Russia menarik balik sekatan penghantaran bijirin Ukraine, dan eksport telah mula disambung semula.

"Saya kekal percaya bahawa perang ini akan berakhir di meja rundingan," kata Encik Erdogan dalam satu kenyataan yang disiarkan media A Haber dari Turkey.

"Tumpuan perbincangan adalah bagaimana kita dapat menamatkan perang."

Encik Erdogan, yang bertemu dengan Encik Putin di Sochi, Russia, dua minggu lalu, telah memainkan peranan pengantara antara Kremlin dengan Kyiv.

Walaupun pemimpin Turkey itu mengekalkan hubungannya dengan Encik Putin, pemerintahnya juga mengekalkan hubungan ketenteraan dengan Ukraine dan membekalkan Kyiv dengan dron untuk membantu menentang pencerobohan itu.

Walaupun Encik Erdogan mengutuk pencerobohan Russia di Ukraine, Turkey tidak mengenakan sekatan seperti yang dilakukan Amerika Syarikat dan Eropah terhadap Moscow. - Agensi berita.

"Saya kekal percaya bahawa perang ini akan berakhir di meja rundingan... Tumpuan perbincangan adalah bagaimana kita dapat menamatkan perang." - Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, yang mengadakan pertemuan dengan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, dan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg