Topik diikuti
Pergi ke BHkuRussia lancar serangan baru di timur Ukraine
Russia lancar serangan baru di timur Ukraine
LVIV/KYIV: Ukraine berkata Russia telah mula melancarkan serangan baru di bahagian timur negara itu, dengan letupan dilaporkan di semua barisan depan serta serangan di daerah lain.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata Russia telah melancarkan Perang Donbas di bahagian timur Ukraine kelmarin dan sebahagian besar tentera Russia kini menumpukan perhatian pada serangan ini.
"Tidak kira berapa ramai askar Russia yang mereka hantar ke sini, kami akan melawan. Kami akan mempertahan diri kami," ujarnya menerusi satu ucapan video.
Ketua Turus Encik Zelensky, Encik Andriy Yermak, menyifatkannya sebagai fasa kedua perang itu dan memberi jaminan kepada warga Ukraine bahawa tentera mereka berupaya menentang serangan tersebut.
"Yakin dengan tentera kita, mereka sangat kuat," ujar beliau.
Media Ukraine melaporkan bahawa terdapat letupan di barisan depan daerah Donetsk, termasuk di Marinka, Slavyansk dan Kramatorsk.
Pegawai pemerintah dan media Ukraine berkata letupan juga boleh didengar di Kharkiv, Mykolaiv dan Zaporizhzhia.
Pegawai pemerintah Ukraine berkata letupan oleh tentera Russia itu membunuh empat orang di Donetsk kelmarin sementara seorang lelaki dan seorang wanita terkorban di Kharkiv menyusuli letupan di sebuah taman permainan dekat sebuah bangunan perumahan.
Menurut mereka, serangan Russia juga meragut nyawa tujuh orang di Lviv. Ini merupakan kali pertama serangan Russia itu mengorbankan orang awam di bandar di bahagian barat Ukraine itu, yang terletak sekitar 60 kilometer dari Poland.
Pegawai keselamatan utama Ukraine, Encik Oleksiy Danilov, berkata tentera Russia cuba mematahkan pertahanan Ukraine hampir di seluruh barisan depan daerah Donetsk, Luhansk dan Kharkiv kelmarin.
Didorong oleh tentangan Ukraine di bahagian utara negara itu, Moscow kini memberi tumpuan kepada serangan di dua wilayah timur yang dikenali sebagai Donbas sementara melancarkan serangan jarak jauh terhadap sasaran lain termasuk ibu kota Ukraine, Kyiv.
Donbas telah menjadi tumpuan utama kempen Russia untuk melemahkan Ukraine, bermula pada 2014 apabila Kremlin menggunakan proksi untuk menubuhkan dua republik rakyat pemisah di Ukraine.
Donbas juga menempatkan aset batu arang dan keluli negara itu.
Kementerian pertahanan Russia berkata mereka telah berjaya menyerang ratusan sasaran tentera di Ukraine semalaman.
Tambahnya, serangan udaranya telah memusnahkan 16 prasarana tentera di daerah Kharkiv, Zaporizhzhia, Donetsk dan Dnipropetrovsk serta di pelabuhan Mykolayiv.
Tentera udara Russia juga telah melancarkan serangan di 108 kawasan di mana terdapat tentera Ukraine dan telah menyerang 315 sasaran tentera Ukraine.
Beberapa negara Barat dan Kyiv menuduh Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, bagi pencerobohan tanpa provokasi.
Rumah Putih berkata Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, akan berbincang dengan negara sekutu tentang krisis Ukraine, termasuk bagaimana untuk menyelaras usaha supaya Russia bertanggungjawab ke atas tindakannya.
Kelmarin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata jumlah kematian orang awam akibat perang itu telah melebihi 2,000 jiwa sejak Russia mula menceroboh masuk ke Ukraine pada 24 Februari.
Sekitar 4 juta warga Ukraine juga telah meninggalkan negara itu.
Russia menafikan telah menyasarkan orang awam dalam apa yang disifatkannya sebagai "operasi khas ketenteraan" terhadap Ukraine dan usaha menghapuskan nasionalis yang berbahaya.
Russia juga menolak dakwaan Ukraine bahawa berlakunya kekejaman peperangan, dengan menambah bahawa Ukraine telah mengada-adakan cerita untuk menjejas perbincangan keamanan.
Russia telah berusaha mengawal bandar pelabuhan Mariupol sepenuhnya yang terus dibedil sejak beberapa minggu lalu, yang akan menjadi 'hadiah' strategik yang besar bagi Russia sekiranya dapat menawannya disebabkan kedudukan bandar itu yang menghubungkan kawasan yang dipegang oleh kumpulan pemisah pro-Russia di bahagian timur dan Crimea yang dikuasai Moscow sejak 2014. - Reuters.