RUSKI TYSHKY (Ukraine): Russia memusnahkan bandar dan kampung di wilayah Kharkiv di timur laut Ukraine pada 13 Mei, beberapa hari selepas melancarkan serangan darat mengejut di sempadan yang memaksa ribuan orang berpindah.
Tentera Ukraine mengakui Russia “mencapai kejayaan taktikal” selepas melancarkan serangan darat pada 10 Mei, yang memaksa hampir 6,000 orang berpindah.
Namun, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, menegaskan negaranya telah menghantar pasukan bantuan, dengan “serangan balas” sedang dilancarkan.
“Tugas kami jelas – untuk menggagalkan percubaan Russia daripada meluaskan peperangan,” katanya dalam ucapan dipetik Japan Times.
Kementerian pertahanan Russia berkata tenteranya telah “memperbaiki kedudukan taktikal dan memberi tamparan kepada tenaga kerja (Ukraine)” di sekitar perkampungan sempadan, termasuk Lyptsi dan bandar Vovchansk.
Encik Kateryna Stepanova, 74 tahun, yang melarikan diri dari Lyptsi bersama anaknya, berkata beberapa butir bom telah meledak di sepanjang jalan.
“Kami tidak akan pergi... tetapi mujurlah kami masih hidup,” katanya semasa berada di dalam bas mini – tempat berkumpul untuk mangsa yang dipindahkan.
Timbalan Ketua Pentadbiran Tentera Ukraine di Lyptsi, Encik Sergiy Kryvetchenko, berkata: “Mereka membedil kampung-kampung, menembak apa sahaja yang berada dalam sasaran mereka.”
Bom berpandu digugurkan dari udara “seperti hujan” kata seorang askar yang sedang berehat selepas menangkis serangan Russia di Lyptsi.
Ketua Majlis Keselamatan Ukraine, Encik Oleksandr Lytvynenko, berkata Moscow telah mengerahkan puluhan ribu tenteranya menyerang wilayah Kharkiv.
“Terdapat ramai orang Russia, agak ramai,” katanya. “Kira-kira 50,000 berada di sempadan. Kini, terdapat lebih daripada 30,000 yang datang.”
Rumah Putih berkata pada 13 Mei bahawa ia sedang melakukan “segala yang mungkin” untuk menyegerakan kiriman senjata ke Ukraine untuk membendung serangan mengejut Russia itu.
“Kami melakukan segala yang mungkin secara kemanusiaan, kedua-dua kami dan sekutu kami,” kata Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Encik Jake Sullivan, kepada pemberita.
Beliau menambah pakej senjata baru akan diumumkan “dalam beberapa hari mendatang.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg