MOSCOW: Setiap tahun di Russia, tarikh 9 Mei dianggap sebagai 'hari keramat' - rakyat seluruh negara memperingati kejayaan Soviet Union menewaskan tentera Nazi Jerman pimpinan diktator Adolf Hitler semasa Perang Dunia Kedua.
Namun, di bawah kepimpinan Encik Vladimir Putin, Moscow meraikan Hari Kemenangan dalam erti yang berlainan - penonjolan kekuatan tentera Russia dan keupayaannya menewaskan proksi Barat - Ukraine.
Lebih daripada itu, tarikh 9 Mei kali ini menggariskan kuasa politik Encik Putin ke atas rakyat Russia dalam menghadapi pengaruh adikuasa Amerika Syarikat ke atas Barat.
Perarakan yang berlangsung semalam dijalankan secara mewah dan disusun rapi oleh Kremlin. Ia bagai membuktikan kekuasaannya terhadap empayar yang telah runtuh. Oleh itu, perbarisan semalam adalah satu usaha strategik bagi menarik sokongan rakyat dalam menghadapi peperangan ke atas Ukraine, yang dianggap sebagai pengganti Nazi Jerman.
Pesawat perang terbang lalu di udara Moscow dalam bentuk 'Z' - melambangkan sokongan ke atas serangan terhadap Ukraine - dan tentera udara yang baru-baru ini bertempur di Ukraine akan berbaris di Dataran Merah dengan menaiki kereta perisai.
Di Baltiysk, bandar tentera laut Baltik, penganjur tempatan yang mengadakan perbarisan 'Regimen Abadi' atau istilah Inggeris 'Immortal Regiment', mengadakan acara perbarisan yang syahdu dengan sanak saudara memaparkan potret askar Perang Dunia Kedua, dan keadaan serupa dilihat di serata negara, dengan askar yang cedera dan pulang ke tanah air setelah pertempuran di Ukraine juga turut serta, lapor akhbar The New York Times, semalam.
Russia juga, dalam pada itu, terus memastikan pengaruh dan bantuan Amerika ke atas Ukraine dipatahkan.
Kementerian Pertahanan Russia kelmarin memaklumkan, tenteranya memusnahkan simpanan besar peralatan ketenteraan dari Amerika dan negara Eropah, berdekatan stesen kereta api Bohodukhiv di wilayah Kharkiv.
Kementerian itu yang ditukil agensi berita Reuters berkata, mereka menyerang 18 kemudahan itu semalaman, termasuk tiga depot peluru di Dachne, berhampiran bandar pelabuhan Odesa.
Sementara itu, peluru berpandu udara Russia menyerang dua tempat berhampiran sempadannya di wilayah Sumy, Ukraine.
Perkara itu dimaklumkan gabenor tempatan, Encik Dmytro Zhyvytskyi.
Seorang pengawal sempadan tercedera pada serangan di perbandaran Myropilske dan Khotin
Awal April lalu, tentera Russia berundur dari Sumy, selepas mara ke wilayahnya ketika awal pencerobohan Russia ke Ukraine
Pengarah Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), Encik Bill Burns, ditukil agensi berita AFP sebagai berkata, Encik Putin percaya beliau tidak mampu kalah di Ukraine dan mula menggandakan perang, namun tidak menunjukkan tanda rancangannya menggunakan senjata nuklear taktikal.
Jelas Encik Burns, biarpun kegagalan tentera Russia menawan Kyiv dan perjuangan mereka mara sehingga ke wilayah tenggara Donbas, pemimpin Russia itu masih tidak mengubah pandangannya bahawa tentera Russia boleh mengalahkan Ukraine.
Katanya, kepercayaan Putin terhadap keupayaan tentera Russia untuk melemahkan tentangan Ukraine mungkin tidak goyah biarpun kalah di medan perang.
"Saya fikir dia berada dalam kerangka pemikiran dengan dia tidak percaya dia boleh kalah," katanya.
Encik Burns berkata Putin tidak dihalang oleh sebarang penentangan kerana dia mempertaruh begitu banyak pilihan yang dia buat untuk melancarkan pencerobohan ini.
"Saya fikir sekarang dia yakin bahawa menggandakan (serangan) akan membolehkan dia membuat kemajuan (dalam perang)," katanya.
Encik Burns, mantan duta Amerika ke Russia yang sudah menghabiskan banyak masa mengkaji pemimpin Russia itu, berkata beliau dan agensi perisikan Barat tidak melihat tanda Moscow bersedia menggunakan senjata nuklear taktikal untuk meraih kemenangan di Ukraine atau menyasarkan Kyiv.
Russia meletakkan pasukan nuklearnya dalam keadaan berjaga-jaga sejurus selepas melancarkan pencerobohan pada 24 Februari lalu.
Sejak itu, katanya, Encik Putin membuat ancaman, membayangkan kesediaan menggunakan senjata nuklear taktikal Russia, jika Barat campur tangan secara langsung dalam konflik Ukraine.
"Kami tidak melihat sebagai komuniti perisikan, bukti praktikal pada ketika ini perancangan Russia untuk menawan atau potensinya menggunakan senjata nuklear taktikal.
"Kami sudah mendengar daripada kepimpinan Russia. Kami tidak boleh mengambil mudah kemungkinan itu. Jadi, kami kekal fokus kepada perkhidmatan perisikan," katanya.
Encik Burns tidak menawarkan sebarang penilaian tentang keadaan semasa di medan perang atau meramalkan bagaimana perang akan berakhir. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg