Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Russia 'tidak berminat' serap Belarus: Putin

Dec 21, 2022 | 5:30 AM
HUBUNGAN ERAT: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin (kiri) dan Presiden Belarus, Encik Alexander Lukashenko, kelihatan mesra semasa sidang akhbar selepas ceramah mereka di Istana Kemerdekaan di Minsk, Belarus, kelmarin. - Foto EPA-EFE
HUBUNGAN ERAT: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin (kiri) dan Presiden Belarus, Encik Alexander Lukashenko, kelihatan mesra semasa sidang akhbar selepas ceramah mereka di Istana Kemerdekaan di Minsk, Belarus, kelmarin. - Foto EPA-EFE -

MOSCOW: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, berkata kelmarin, negaranya "tidak berminat" untuk menyerap Belarus, sekutu utama Moscow yang banyak bergantung kepadanya untuk mendapatkan minyak dan pinjaman murah.

"Russia tidak berminat untuk menerima sesiapa pun, ini tidak masuk akal," kata Encik Putin, menjawab soalan seorang wartawan, dengan berkata khabar angin seperti itu datang daripada "orang yang tidak baik".

Kremlin telah bertahun-tahun berusaha untuk memperdalam penyepaduan dengan Belarus, tetapi orang kuatnya, Encik Alexander Lukashenko, menentang penyatuan secara terang-terangan dengan Russia walaupun menjadi sekutu utama.

Encik Putin memuji hubungan antara "sekutu terdekat dan rakan strategik... disatukan oleh sejarah dan nilai kerohanian yang sama".

"Kami bersama-sama menentang sekatan daripada negara yang tidak mesra," kata Encik Putin lagi, "dan kami melakukannya dengan yakin dan berkesan."

Russia dan Belarus bersetuju untuk memperkukuh kerjasama "dalam semua bidang", tambah Presiden Russia itu.

Ini termasuk sektor ketenteraan, kerana kedua-dua negara bersetuju mengenai "langkah bersama untuk keselamatan kedua-dua negara", meneruskan latihan bersama dan "penyampaian senjata bersama".

Russia akan terus melatih kakitangan Belarusia untuk menerbangkan pesawat yang boleh membawa kepala nuklear, kata Encik Putin.

"Kami telah menguji pesawat itu," kata Encik Lukashenko, yang menambah bahawa "ini bukan ancaman ke atas sesiapa".

Pemimpin Belarusia itu turut memuji hubungan negaranya dengan Russia.

"Russia tidak boleh pergi ke mana-mana tanpa kami, kami tidak boleh melakukan apa-apa tanpa Russia," kata Encik Lukashenko.

"Adakah kita mampu melindungi kemerdekaan dan kedaulatan kita tanpa Russia? Tidak!" beliau menambah.

Encik Putin telah menggunakan wilayah Belarus sebagai landasan pelancaran untuk serangan Ukraine.

Pada Oktober lalu, Belarus mengumumkan pembentukan pasukan serantau bersama Moscow, dengan beberapa ribu askar Russia tiba di negara bekas Soviet itu, yang mencetuskan kebimbangan bahawa Minsk juga boleh menghantar tentera ke Ukraine. - Agensi berita.

"Russia tidak boleh pergi ke mana-mana tanpa kami, kami tidak boleh melakukan apa-apa tanpa Russia. Adakah kita mampu melindungi kemerdekaan dan kedaulatan kita tanpa Russia? Tidak!" - Encik Alexander Lukashenko, presiden Belarus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg