WASHINGTON: Sehari sebelum perbicaraan tuduhan menghasut pemberontakan di Capitol depan Dewan Senat, pasukan peguam mantan presiden Amerika Syarikat Donald Trump semalam menafikan bahawa anak guam mereka menggalakkan keganasan itu.
Di sisi pendakwa pula, mereka siap mendakwa Encik Trump sambil berkata beliau tidak memiliki pembelaan utuh.
Sebelum ini, peguam Encik Trump menekankan dalam sesi sidang sebelum perbicaraan bahawa mereka tidak akan menghuraikan apa-apa bagi perbicaraan pendakwaan kedua ini.
Pendakwaan pertama Encik Trump melibatkan tuduhan salah guna kuasa dan menghalang kerja Kongres berkenaan permintaannya mahu Ukraine menyiasat Encik Joe Biden dan anaknya Encik Hunter tahun lalu. Beliau dibebaskan daripada tuduhan oleh Senat yang waktu itu dikuasai parti Republikan.
Kali ini, peguam Encik Trump harus meyakinkan Senat yang dianggotai 100 orang agar tidak mendakwa mahupun melarangnya daripada berkhidmat lagi.
Pasukan peguam tersebut menyifatkan perbicaraan itu sebagai "langkah politik terburu-buru" oleh pihak Demokrat.
Mereka turut menekankan bahawa Perlembagaan tidak membenarkan perbicaraan pendakwaan dilaksanakan ke atas mantan presiden.
Pada 13 Januari lalu, tuduhan menghasut pemberontakan ke atas Encik Trump diluluskan Dewan Perwakilan yang dipimpin kelompok Demokrat. Mereka menggunakan ucapan Encik Trump yang disampaikan kepada pengikutnya sebagai asas tuduhan itu.
Sejurus ucapan berkenaan disampaikan pada 6 Januari, ratusan pemberontak merusuh di bangunan Capitol. Kakitangan bangunan bersembunyi manakala lima jiwa terkorban termasuk seorang pegawai polis.
"Bukti terhadap kelakuan Presiden Trump tidak boleh disangkal," ujar sembilan pengurus pendakwaan Demokrat, yang juga berperanan sebagai pihak pendakwa, dalam satu kenyataan. "Beliau tidak mempunyai alasan kukuh mahupun pembelaan atas tindakannya itu. Usahanya ingin menolak kebertanggungjawapan gagal."
Peguam Encik Trump berkata beliau sekadar menggunakan kiasan apabila menggalak pengikut supaya "lawan bermati-matian". Pada waktu itu, Kongres sedang mengesahkan kemenangan Encik Joe Biden dalam Pilihan Raya Presiden. Penggunaan perkataan "lawan", menurut peguam bela, "tidak boleh dianggap sebagai menggalak tindakan kekerasan".
"Dalam ucapannya, jelas tidak ada rujukan ataupun galakan terhadap usaha pemberontakan, rusuhan, tindakan jenayah atau kelakuan kekerasan fizikal pun," mereka menambah.
Di samping itu, peguam bela seperti Encik Bruce Castor, Encik David Schoen dan Encik Michael van der Veen menukil Perlembagaan sebagai "tidak memuatkan peraturan mendakwa warga yang tidak berkhidmat".
Encik Trump presiden Amerika pertama yang didakwa dua kali dan perlu dibicarakan setelah tamat tempoh khidmat.
Menurut sumber, perbicaraan akan dimulakan dengan bahas empat jam. Bahas itu diikuti undian mengesahkan sama ada prosiding dibenarkan atau tidak di bawah Perlembagaan kerana Encik Trump tidak lagi menyandang jawatan presiden.
Setelah itu, perbahasan hingga 32 jam akan dimulakan menjelang tengah hari Rabu. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg