NEW YORK: Sekumpulan saintis dari Universiti Columbia mendakwa berjaya menyunting DNA embrio manusia awal dengan tahap ketepatan yang belum pernah dicapai sebelum ini, sekali gus membuka kemungkinan teknologi itu digunakan pada masa depan untuk menghasilkan bayi dengan ciri-ciri tertentu.

Pencapaian itu bagaimanapun segera mencetuskan perdebatan etika dan moral di seluruh dunia mengenai had campur tangan manusia terhadap genetik bayi.

Pasukan penyelidik diketuai ahli genetik, Encik Dieter Egli menggunakan teknologi baharu dikenali sebagai “base editing” yang membolehkan saintis menggantikan huruf genetik tertentu dalam DNA secara lebih tepat tanpa menyebabkan kerosakan besar seperti yang sering berlaku dalam teknologi CRISPR sebelum ini.

Encik Egli berkata teknologi itu berpotensi membantu ibu bapa membaiki mutasi genetik yang menyebabkan penyakit keturunan pada embrio.

Namun beliau turut mengakui teknologi tersebut masih menimbulkan banyak persoalan mengenai keselamatan dan implikasi jangka panjang.

“Sebagai saintis, kami hanya menyediakan data untuk perbincangan. Selepas itu, masyarakat dan pihak lain perlu menentukan hala tuju penggunaannya,” katanya.

Beliau menegaskan penyelidikan itu belum bersedia digunakan di klinik kesuburan.

“Kami tidak mengatakan teknologi ini akan digunakan di klinik esok,” katanya lagi.

Kajian tersebut kini sedang dinilai untuk diterbitkan dalam jurnal saintifik.

Perdebatan mengenai penyuntingan DNA embrio manusia sebenarnya sudah bermula lebih sedekad lalu selepas teknologi CRISPR diperkenalkan pada 2012.

Teknologi itu membolehkan saintis memotong bahagian DNA tertentu untuk mengubah gen manusia.

Walaupun CRISPR menjadi alat penting dalam penyelidikan perubatan dan rawatan penyakit genetik, saintis mendapati ia kadangkala memotong bahagian DNA yang salah atau menyebabkan kerosakan besar pada kromosom.

Pada 2023, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskan rawatan pertama berasaskan CRISPR untuk penyakit anemia sel sabit, sejenis gangguan darah genetik yang boleh menyebabkan kesakitan teruk dan komplikasi serius.

Namun kontroversi terbesar tercetus pada 2018 apabila saintis China, He Jiankui menggunakan CRISPR untuk mengubah DNA embrio manusia.

Beliau mendakwa mahu menghasilkan bayi yang kebal terhadap HIV.

Eksperimen itu dikecam hebat komuniti saintifik antarabangsa dan pihak berkuasa China kemudian memenjarakannya selama tiga tahun.

Menurut Encik Egli, eksperimen terdahulu menggunakan CRISPR pada embrio manusia menunjukkan kesan yang “amat dahsyat”.

Dalam satu kajian pada 2020, beliau dan pasukannya menggunakan sperma penderma yang mempunyai mutasi gen EYS penyebab kebutaan keturunan untuk melihat bagaimana CRISPR bertindak terhadap embrio manusia.

Sebahagian embrio berjaya membaiki gen rosak itu, namun hampir separuh mengalami kegagalan serius termasuk kehilangan sebahagian besar DNA dan kerosakan keseluruhan kromosom.

“Ia membawa kesan yang benar-benar serius dan merosakkan,” katanya.

Keputusan itu menyebabkan ramai saintis dan pakar bioetika berpendapat penyuntingan embrio manusia terlalu berisiko untuk digunakan buat masa ini.

Namun teknologi “base editing” yang diperkenalkan pada 2016 oleh ahli genetik David Liu memberi harapan baharu kerana ia tidak memotong DNA secara kasar seperti CRISPR.

Sebaliknya, teknologi itu membolehkan saintis mengubah satu “huruf” genetik tertentu dalam DNA dengan lebih tepat dan terkawal, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan besar pada gen atau kromosom manusia.

Sebaliknya, teknologi itu hanya membuat perubahan kecil dan lebih terkawal pada gen sasaran.

Dalam kajian terbaru, Egli dan pasukannya cuba mengubah dua gen iaitu PCSK9 yang dikaitkan dengan risiko penyakit jantung dan HBG yang mengawal penghasilan hemoglobin janin.

Mereka memasukkan molekul penyunting gen ke dalam telur yang telah disenyawakan dan embrio dua sel yang didermakan oleh ibu bapa.

Penyelidik mendapati tiada kerosakan besar seperti yang pernah berlaku dalam eksperimen CRISPR sebelum ini.

Namun teknologi itu masih belum sempurna.

Ada sel embrio yang berjaya diubah, manakala sebahagian lagi kekal dengan gen asal.

Keadaan itu menghasilkan apa yang dikenali sebagai “mosaic embryos”, iaitu embrio yang mengandungi campuran gen berbeza dalam tubuh sama.

Pakar kesuburan dari Universiti Sains dan Kesihatan Oregon, Paula Amato menyifatkan teknologi tersebut sebagai “menjanjikan”, namun menegaskan lebih banyak kajian perlu dilakukan sebelum ia boleh dianggap selamat.

Pakar bioetika dari Universiti Wake Forest, Ana Iltis pula memberi amaran bahawa kesan berbahaya mungkin hanya muncul selepas bayi dilahirkan.

“Ada kemungkinan sebahagian kesan berbahaya hanya akan dapat dilihat selepas kelahiran,” katanya.

Kontroversi turut memuncak apabila syarikat bioteknologi Nucleus Genomics yang terlibat dalam penyelidikan itu dikritik kerana menawarkan saringan embrio IVF untuk ribuan penyakit genetik serta membuat ramalan terhadap ciri seperti ketinggian dan kecerdasan.

Syarikat itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila memaparkan iklan di kereta api bawah tanah New York dengan slogan “hasilkan bayi terbaik anda”.

Pengkritik menuduh teknologi sedemikian membuka jalan kepada amalan eugenik moden atau usaha memilih ciri manusia mengikut kehendak tertentu.

Ahli genetik dari Universiti California, Berkeley, Fyodor Urnov berkata penggunaan teknologi itu pada embrio manusia masih terlalu berisiko.

“Adakah kita mahu menggunakan kaedah IVF yang telah terbukti selamat sejak 1978, atau mencuba teknologi baharu yang risikonya belum benar-benar difahami?” katanya.

Walaupun teknologi penyuntingan DNA kini semakin maju, ramai pakar menegaskan persoalan terbesar bukan lagi sama ada manusia mampu mengubah gen bayi, tetapi sama ada dunia bersedia menerima akibat etika dan sosialnya. - Agensi berita