ALOR STAR: Jumlah kehadiran yang besar di rumah terbuka Aidilfitri Malaysia Madani pertama pada Sabtu adalah isyarat jelas bahawa rakyat Kedah telah menolak sentimen dan naratif politik yang melampau.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar, melahirkan rasa terima kasih di atas kejayaan majlis itu dan berterima kasih kepada orang ramai kerana menghadiri rumah terbuka yang julung kali diadakan oleh seorang Perdana Menteri di luar Putrajaya.
"Alhamdulillah, majlis itu mendapat sambutan orang ramai, kehadiran seramai 50,000 orang, melepasi sasaran awal 25,000 orang.
"Pada saya, ini adalah petunjuk bahawa rakyat di Kedah tidak lagi selesa dengan sentimen politik yang keterlaluan.
"Mereka tidak melihat majlis rumah terbuka Aidilfitri ini sebagai acara politik," kata beliau, lapor News Straits Times (NST) pada Ahad.
Pada 26 April lalu, Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendakwa Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri melanggar tatasusila perhubungan kerajaan pusat dan negeri dari segi kuasa dan bidang kuasa mereka.
Datuk Takiyuddin juga dilaporkan melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan penyalahgunaan jentera kerajaan oleh kerajaan perpaduan.
Datuk Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara berkata, kehadiran Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada majlis itu memberikan mesej positif kepada semua rakyat agar berpisah daripada politik yang memecahbelahkan.
"Ini titah Tuanku yang amat jelas, janganlah kita berlebih-lebihan tentang politik sehingga menjejas kepentingan negeri tercinta," katanya.
Pada Sabtu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Sallehuddin atas kebijaksanaannya menghimpunkan pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan untuk bersalaman pada majlis itu.
Datuk Mahfuz mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghapuskan kemiskinan tegar di Kedah serta negeri-negeri lain.
"Bagi saya, adalah tidak boleh diterima bahawa kita masih mempunyai isu kemiskinan tegar di negara ini. Saya amat mengalu-alukan sebarang usaha untuk mengubahnya.
"Terdapat kira-kira 140,000 isi rumah di negeri ini yang memerlukan bantuan kedua-dua kerajaan pusat dan negeri untuk dibebaskan daripada kemiskinan," katanya.
Justeru, Datuk Anwar meminta kerjasama kerajaan negeri dan agensinya untuk mencapai matlamat tersebut.
Pada Ahad, beliau hadiri acara rumah terbuka serupa di Sabah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg