Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sambutan Hari Kebangsaan M'sia kembali di Dataran Merdeka

Dalam perutusan jelang 31 Ogos, Ismail Sabri sebut pencapaian signifikan ekonomi tarik keyakinan pelabur
Sep 1, 2022 | 5:30 AM
SAMBUTAN: Selepas dua tahun Hari Kemerdekaan negara Malaysia diraikan tanpa kemeriahan akibat pandemik Covid-19, sambutan Hari Kebangsaan 2022 tahun ini kembali diwarnai keceriaan dan kibaran Jalur Gemilang ratusan ribu hadirin di Dataran Merdeka. - Foto REUTERS
SAMBUTAN: Selepas dua tahun Hari Kemerdekaan negara Malaysia diraikan tanpa kemeriahan akibat pandemik Covid-19, sambutan Hari Kebangsaan 2022 tahun ini kembali diwarnai keceriaan dan kibaran Jalur Gemilang ratusan ribu hadirin di Dataran Merdeka. - Foto REUTERS -

KUALA LUMPUR: Kehadiran orang ramai pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, semalam melebihi jangkaan apabila lebih 100,000 memenuhi lokasi majlis dan kawasan sekitar berbanding 50,000 sasaran asal.

Rakyat berbilang kaum yang hadir di sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka teruja kerana dapat menyambut hari bermakna negara kali ini, selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian ekoran penularan pandemik Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata pengunjung memenuhi kawasan perbarisan dan perarakan sepanjang tiga kilometer meliputi Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Raja Laut, selain sekitar Jalan Tun Perak.

Sambutan Hari Kebangsaan bermula dengan ketibaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dengan menaiki kereta kuda diraja sekitar 8 pagi dan ketibaan pembesar negara, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Lewat malam kelmarin, dalam perutusan Hari Kebangsaannya, Datuk Seri Ismail Sabri berkata Malaysia kini signifikan di mata dunia dan dibuktikan menerusi pencapaian ekonomi dengan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sebanyak 8.9 peratus bagi suku kedua tahun ini, antara pencapaian terbaik direkodkan di Asia Tenggara.

Katanya, keyakinan kepada ekonomi negara juga jelas dalam kalangan pelabur antarabangsa.

"Untuk separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran langsung bersih lebih tinggi bernilai RM 41.7 bilion berbanding RM 23.3 bilion sebelum pandemik Covid-19.

"Perkembangan ekonomi Malaysia yang memberangsangkan pada hari ini antara lain adalah hasil daripada dasar fiskal mengembang melalui Bajet 2022, dasar monetari yang kekal akomodatif serta pembukaan semula sepenuhnya ekonomi dan sempadan antarabangsa.

"Pencapaian yang direkodkan ini merupakan yang terbaik di Asia Tenggara.

"Momentum pemulihan ekonomi bukan sekadar pertumbuhan GDP tetapi pemulihan pasaran kerja apabila kadar pengangguran turun daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 3.8 peratus pada Jun 2022," katanya.

Datuk Seri Ismail Sabri menyebut tentang bentuk penjajahan moden yang muncul ketika ini dirasai bukan hanya negara, sebaliknya seluruh dunia yang membabitkan penjajahan bidang ekonomi, teknologi dan budaya.

"Jika kita tidak mempertahankan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh wira terdahulu, maka sejarah mungkin akan berulang dan kita kembali dijajah semula," ujar Datuk Seri Ismail Sabri. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg