Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Satu lagi portal berita dalam talian Hong Kong tutup

Jan 10, 2022 | 05:30 AM



HONG KONG: Media di Hong Kong mendapat perhatian seluruh dunia apabila satu lagi portal berita dalam talian, Citizen News, memutuskan untuk menghentikan operasinya mulai Selasa lalu berikutan keadaan yang disifatkannya sebagai sekitaran media yang semakin memburuk di pulau itu.



Citizen News berkata keputusannya didorong oleh penutupan satu media prodemokrasi baru-baru ini berikutan serbuan polis yang menyebabkan tujuh tangkapan.



Stand News, satu laman berita prodemokrasi terkenal, ditutup minggu lalu selepas 200 pegawai polis menyerbu bilik beritanya, membeku asetnya dan menahan tujuh orang kerana disyaki bersubahat menerbitkan bahan berunsur hasutan.



Citizen News menyatakan ia turut bertindak demi memastikan keselamatan kakitangannya.



"Keputusan itu dibuat dalam tempoh yang singkat. Titik pencetusnya ialah nasib Stand News," kata Encik Chris Yeung, ketua penulis di Citizen News dan mantan presiden Persatuan Wartawan Hong Kong.



"Kami tidak boleh menolak bahawa... kami mungkin terdedah kepada beberapa risiko," tambahnya.



"Kami telah mencuba sedaya upaya tidak melanggar mana-mana undang-undang tetapi kami tidak lagi dapat melihat dengan jelas garis penguatkuasaan undang-undang dan kami tidak lagi boleh berasa selamat untuk bekerja," kata Encik Yeung.



Citizen News adalah salah satu saluran berita dalam talian paling popular di Hong Kong dengan lebih 800,000 pengikut media sosial.



Platform yang didanai orang ramai itu diasaskan pada 2017 oleh sekumpulan wartawan veteran.



Encik Yeung berkata bilik berita mereka tidak dihubungi pihak berkuasa tetapi memutuskan menghentikan operasi berdasarkan apa yang mereka lihat sedang berlaku kepada media di Hong Kong.



Tabloid Apple Daily yang lantang bersuara runtuh tahun lalu selepas asetnya dibekukan dan pemimpin utamanya ditahan di bawah undang-undang keselamatan negara baru berhubung kandungan yang diterbitkannya.



Stand News ditutup baru-baru ini selepas tujuh anggotanya diberkas.



Sementara itu, pemerintah Hong Kong menafikan menyasarkan media dan mengekang kebebasan di hab kewangan sejagat itu.



Pemimpin Hong Kong, Cik Carrie Lam, berkata beliau tidak boleh menerima dakwaan bahawa kebebasan akhbar di wilayah itu menghadapi "kepupusan".



"Saya membaca berita tentang, kerana penutupan media dalam talian, kebebasan akhbar di Hong Kong menghadapi kepupusan... Saya tidak boleh menerima dakwaan seperti itu," katanya sambil menambah bahawa tidak ada yang lebih penting daripada kedaulatan undang-undang.



Cik Lam telah membidas pemerintah asing yang menuntut pembebasan tujuh anggota Stand News sambil berkata tindakan sedemikian akan bertentangan dengan kedaulatan undang-undang bekas jajahan Britain itu.



China pula berkata hak asasi telah digunakan sebagai percubaan untuk mengganggu kemajuan Hong Kong selepas undang-undang keselamatan baru itu memulihkan kestabilan.



Banyak media antarabangsa masih mempunyai ibu pejabat Asia di Hong Kong termasuk Agence France-Presse, Bloomberg, Wall Street Journal, CNN, the Economist dan Financial Times.



Lain-lain seperti The New York Times dan The Washington Post berpindah ke atau membuka pejabat Asia baru di Korea Selatan kerana situasi politik di Hong Kong.



Persatuan Wartawan Hong Kong menyatakan ia "sangat sedih dan kesal" mendengar penutupan Citizen News. - Reuters, AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >