Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi lancar serangan balas selepas Houthi serang dua lapangan terbang
Tiga dilaporkan terbunuh, 36 cedera dalam serangan ketika sebuah pesawat sedang mendarat di Saudi
Saudi lancar serangan balas selepas Houthi serang dua lapangan terbang
RIYADH: Tiga orang terbunuh dan 36 lagi cedera dalam serangan ke atas dua lapangan terbang antarabangsa Arab Saudi, termasuk lapangan terbang utama di Riyadh, ketika pertempuran antara tentera pemerintah Yaman dengan kumpulan Houthi semakin memuncak.
Pihak berkuasa Arab Saudi berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Abha dan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh menjadi sasaran serangan pada 6 Oktober dan 7 Oktober.
Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi berkata seorang warga Mesir dan seorang warga Algeria terbunuh dalam serangan di Abha, manakala seorang warga Sudan maut dalam serangan di Riyadh.
Seramai 36 orang lagi cedera dalam serangan di kedua-dua lapangan terbang itu.
Houthi yang disokong Iran mengaku melancarkan beberapa serangan terhadap Arab Saudi, termasuk menggunakan peluru berpandu balistik dan dron.
Jurucakap tentera Houthi, Encik Yahya Saree, mendakwa kumpulan itu melancarkan peluru berpandu balistik ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh.
“Angkatan tentera kami baru sahaja menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dengan peluru berpandu balistik,” katanya menerusi X.
Beliau mendakwa serangan itu mengenai sasaran dan menyebabkan operasi penerbangan terganggu.
Namun, gabungan tentera pimpinan Arab Saudi yang menyokong pemerintah Yaman berkata peluru berpandu berkenaan berjaya dipintas.
Gabungan itu kemudian mengumumkan bahawa tapak pelancaran peluru berpandu balistik yang digunakan dalam serangan ke atas Riyadh sudah dimusnahkan.
Ia turut memberi amaran bahawa serangan terhadap kemudahan awam di Arab Saudi akan menerima tindak balas.
“Serangan kejam militia Houthi terhadap orang awam dan kemudahan awam di kerajaan ini, termasuk serangan terbaru yang menyasarkan dua lapangan terbang, tidak akan dibiarkan tanpa tindakan,” kata gabungan itu.
Sebagai tindak balas, gabungan pimpinan Arab Saudi berkata tenteranya menyerang dan memusnahkan 82 “sasaran ketenteraan yang sah” milik Houthi.
Sasaran itu termasuk kemudahan peluru berpandu balistik di kawasan pergunungan, pusat arahan dan kawalan, sistem komunikasi serta lokasi anggota Houthi berkumpul.
Houthi turut mendakwa melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Lapangan Terbang Abha serta Pangkalan Udara King Khalid di Khamis Mushait.
Encik Saree mendakwa serangan berkenaan berjaya mengenai sasaran.
Ia merupakan kali kedua minggu ini Houthi mendakwa menyerang lapangan terbang utama Riyadh.
Serangan terbaru berlaku ketika perang saudara Yaman kembali memuncak selepas gencatan senjata selama empat tahun berakhir dan pertempuran tercetus semula pada Julai.
Houthi, yang menguasai sebahagian besar barat laut Yaman, sejak itu bertempur dengan pasukan pemerintah yang disokong Arab Saudi bagi menguasai wilayah strategik.
Bulan September, kumpulan itu merampas kawasan luas di sepanjang pantai barat Yaman menghadap Laut Merah dalam pertempuran paling buruk di negara berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
Pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa minggu ini melancarkan serangan balas besar-besaran dengan sokongan udara gabungan pimpinan Arab Saudi.
Pemerintah mendakwa tenteranya berjaya mengusir Houthi dari beberapa kawasan strategik di Laut Merah serta bandar pelabuhan Mocha.
Bagaimanapun, Houthi menegaskan mereka masih mempertahankan kawasan yang dikuasai.
Sumber tentera kedua-dua pihak yang dihubungi AFP pula berkata belum ada perubahan besar pada kedudukan mereka di medan pertempuran.
Dakwaan kedua-dua pihak sukar disahkan secara bebas berikutan keadaan yang berubah dengan pantas dan akses wartawan ke kawasan pertempuran yang terhad.
Pertempuran di barat Yaman pada 7 Oktober mengorbankan sekurang-kurangnya 62 anggota kedua-dua pihak, termasuk 37 anggota Houthi, menurut sumber tentera.
Houthi turut dituduh melancarkan peluru berpandu ke Taiz, sebuah bandar yang dikuasai pasukan pemerintah, menyebabkan lima orang awam cedera.
Seorang penduduk, Encik Al-Fateh al-Eisaei, berkata peluru itu jatuh di tengah jalan di kawasan yang dipenuhi orang awam.
“Kami keluar ke jalan untuk melihat keadaan mangsa dan melihat orang awam yang cedera. Peluru Houthi jatuh di tengah jalan, betul-betul di kawasan yang sesak dengan orang awam,” katanya.
Houthi turut menyasarkan konvoi bekalan tentera berhampiran lapangan terbang di Aden, ibu kota sementara pemerintah Yaman.
Agensi berita pemerintah, Saba, melaporkan peluru berpandu dan dron dilancarkan ke arah lapangan terbang itu.
Satu peluru berpandu dilaporkan jatuh berhampiran landasan hanya beberapa minit sebelum sebuah pesawat dari Kaherah dijadualkan mendarat, menyebabkan penerbangan itu terpaksa dialihkan ke Jeddah, Arab Saudi.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pertempuran terbaru di Yaman sudah menyebabkan lebih 200,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Pemerintah Yaman kini menetapkan matlamat untuk merampas semula semua wilayah yang dikuasai Houthi, termasuk kawasan yang berada di bawah kawalan kumpulan itu sejak lebih sedekad lalu.
Peningkatan pertempuran turut memburukkan krisis kemanusiaan Yaman, dengan sebahagian besar penduduk negara itu masih bergantung kepada bantuan untuk meneruskan kehidupan. – Agensi berita.