RIYADH: Arab Saudi melanjutkan sekatan perjalanan dan menunda pembukaan semula sempadannya daripada 31 Mac kepada 17 Mei, menyusuli kelewatannya menerim bekalan vaksin Covid-19, menurut pihak berkuasa negara itu.
Pengumuman Menteri Dalam Negeri itu dibuat selepas beberapa minggu kerajaan Arab Saudi memutuskan membuka semula pintu masuk darat, laut dan udara berikutan penurunan kes jangkitan Covid-19.
Pada 8 Januari, Arab Saudi menetapkan 31 Mac tarikh menarik balik penggantungan penerbangan antarabangsa.
Arab News melaporkan keputusan terbaru itu menyusuli kenyataan Menteri Kesihatan Arab Saudi yang berkata pengeluar vaksin Covid-19 gagal mematuhi tarikh akhir pembekalan vaksin.
Gelombang kedua jangkitan Covid-19 yang kini menular lebih cepat di seluruh dunia turut mempengaruhi keputusan itu.
Sebelum menarik balik sekatan perjalanan bagi rakyatnya dan membuka semula sempadan, Arab Saudi menyasarkan menginokulasi sebahagian besar penduduknya.
Ia menggantung penerbangan bulan lalu selepas kemunculan varian baru Covid-19.
Seorang doktor di Pusat Penyelidikan dan Hospital Pakar King Abdullah di Riyadh, Dr Shaikh Abdullah, memberitahu Arab News keputusan melanjutkan sekatan perjalanan adalah tindakan bijak.
"Arab Saudi melakukan yang terbaik untuk membendung penyebaran virus itu, sekali gus meletak negara ini dalam senarai negara yang mempunyai kes jangkitan rendah, begitu juga dengan kes kematian," katanya. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg