Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi longgarkan sekatan, pelitup tak lagi wajib

Namun kelonggaran akan hanya diberikan mereka yang sudah lengkap divaksin
Oct 17, 2021 | 5:30 AM
NIKMATI KONSERT: Sebuah keluarga Saudi menghadiri Disney Princess - The Concert, konsert Disney pertama diadakan di Riyadh, Arab Saudi, pada 9 Oktober lalu. - Foto REUTERS
NIKMATI KONSERT: Sebuah keluarga Saudi menghadiri Disney Princess - The Concert, konsert Disney pertama diadakan di Riyadh, Arab Saudi, pada 9 Oktober lalu. - Foto REUTERS -

JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi telah memutuskan melaksanakan beberapa kelonggaran mulai hari ini ke atas sekatan yang dilaksanakan untuk mengekang penularan Covid-19, termasuk dari segi pemakaian pelitup muka.

Pengumuman ini dibuat kelmarin setelah melihatkan kes jangkitan Covid-19 mencatat penurunan secara ketara di seluruh negara dan langkah vaksinasi pula semakin tinggi.

Akhbar Arab News melaporkan ketetapan baru itu akan hanya membabitkan golongan yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 - meliputi 20.6 juta daripada keseluruhan jumlah 34.8 juta penduduk di Arab Saudi, setakat ini.

Menurut kerajaan Saudi, menerusi pengumuman Kementerian Ehwal Dalam Negeri itu, pemakaian pelitup muka tidak akan lagi diwajibkan di tempat terbuka, kecuali di lokasi khusus tertentu - termasuk di Masjidil Haram di Makkah, serta Masjid Nabawi di Madinah - yang mana semua pengunjung dan petugas masih diwajibkan memakai pelitup muka.

Kedua-dua masjid itu juga akan kembali beroperasi dengan kapasiti penuh, namun mereka yang hadir mesti daftar melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna yang diluluskan Kementerian Kesihatan.

Selain itu, penjarakan fizikal juga tidak akan lagi diwajibkan di perhimpunan sosial atau tempat awam, termasuk pengangkutan, restoran dan panggung wayang.

Dewan untuk majlis perkahwinan juga dibenarkan untuk kembali kepada kapasiti penuh.

Bagaimanapun, beberapa langkah pencegahan akan terus dikekalkan, termasuk pemeriksaan suhu badan ketika memasuki sesuatu premis, dan pemeriksaan status kesihatan melalui aplikasi Tawakkalna.

Cecair pembasmi kuman untuk tangan juga dikehendaki terus disediakan di premis awam dan swasta.

Di samping itu, penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka akan tetap diwajibkan di lokasi yang mana pemeriksaan status kesihatan melalui Tawakkalna tidak dikenakan.

Menurut pengumuman itu lagi, Kementerian Kesihatan akan terus memantau kes Covid-19 yang membawa kepada kemasukan ke hospital atau unit jagaan rapi (ICU).

Sekiranya timbul sebarang ancaman kesihatan berikutan pelonggaran peraturan itu, langkah pencegahan akan dikenakan semula di bandar atau wilayah mengikut keperluan.

Dalam pada itu, Kerajaan Arab Saudi juga mengumumkan pelantikan Encik Tawfiq Al-Rabiah sebagai Menteri Haji dan Umrah yang baru.

Encik Fahd Al-Jalajel pula telah dilantik sebagai Menteri Kesihatan yang baru.

Bulan lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan bahawa warga asing yang mengunjungi negara itu melalui visa pelancongan boleh melakukan ibadah umrah, selepas mendapatkan permit melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.

Kementerian itu menyatakan pemegang visa lawatan juga boleh mendapatkan permit umrah dengan melakukan proses pendaftaran menerusi aplikasi Eatmarna, lapor Saudi Gazette.

"Pembukaan akaun di Eatmarna hanya boleh dilakukan selepas individu itu mengemas kini status kesihatan vaksinasi mereka pada aplikasi Tawakkalna.

"Hanya mereka yang sudah lengkap vaksin Covid-19 atau pulih daripada jangkitan layak untuk mendapatkan visa Umrah," menurut kementerian itu.

Dianggarkan 500 syarikat dan lebih 6,000 ejen asing umrah sudah mula menerima jemaah warga asing yang sudah lengkap vaksin sejak 9 Ogos lalu.

Kementerian Haji dan Umrah juga sebelum ini turut mengumumkan rancangan untuk melancarkan satu mekanisme baru untuk mengeluarkan visa umrah sekali sahaja secara atas talian.

Kementerian itu juga mengesahkan kesediaannya untuk menerima seramai mungkin jemaah umrah mengikut kuota yang dipersetujui dengan beberapa negara Islam sebelum penularan pandemik Covid-19. - Agensi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg