SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Saudi lulus pembinaan lapangan terbang Makkah bagi jemaah haji, umrah

Saudi lulus pembinaan lapangan terbang Makkah bagi jemaah haji, umrah

Apr 7, 2026 | 2:46 PM

Saudi lulus pembinaan lapangan terbang Makkah bagi jemaah haji, umrah

Makkah, haji, lapangan terbang
Arab Saudi telah meluluskan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Makkah bagi menyediakan akses terus kepada jemaah, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada Lapangan Terbang Jeddah serta memperkukuh prasarana pengangkutan ibadah. - Foto REUTERS

MAKKAH: Arab Saudi meluluskan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Makkah, satu langkah besar yang dijangka memudahkan akses terus ke Kota Suci Islam itu yang menerima lebih sejuta anggota jemaah luar negara setiap tahun.

Seorang pegawai Saudi mengesahkan Makkah bakal mempunyai lapangan terbang sendiri serta sistem metro moden bagi memperbaiki perjalanan jemaah yang menunaikan haji dan umrah.

Ketika ini, Makkah tidak mempunyai lapangan terbang sendiri.

Ia menyebabkan kebanyakan jemaah antarabangsa perlu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, kira-kira 100 kilometer dari Makkah, sebelum meneruskan perjalanan melalui bas, kenderaan darat atau tren laju.

Sebelum ini, bentuk muka bumi Makkah yang bergunung-ganang dianggap tidak sesuai untuk pembinaan lapangan terbang kerana risiko pergolakan udara, jarak penglihatan terhad dan kesukaran dalam pendaratan.

Namun, kemajuan teknologi pengangkutan membuka peluang baharu.

Pada 2024, Arab Saudi berjaya menguji teksi udara tanpa pemandu bagi membawa jemaah antara lokasi suci, selain digunakan untuk kecemasan dan penghantaran peralatan perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Diraja bagi Bandar Makkah dan Tapak Suci, Encik Saleh Al-Rasheed, berkata hala tuju strategik dan pelaburan untuk lapangan terbang itu telah diluluskan.

“Kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk awal telah disiapkan dan dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi melengkapkan proses sebelum pelaksanaan fasa seterusnya,” kata beliau.

Lapangan terbang itu akan dibangunkan bersama sektor swasta dan dijangka memenuhi piawaian bertaraf dunia, selain mengekalkan keseimbangan ekonomi dengan lapangan terbang serantau lain.

Selain itu, projek Metro Makkah turut diumumkan bagi meningkatkan sistem pengangkutan awam yang kini bergantung kepada lebih 400 bas yang meliputi 580 kilometer laluan.

Sistem baharu itu dijangka memberi manfaat kepada sekitar 185 juta penumpang yang menggunakan pengangkutan awam setiap tahun, khususnya ketika musim haji.

Walaupun pelaburan besar dilakukan untuk meningkatkan kemudahan, industri pelancongan Asia Barat kini berdepan cabaran serius akibat konflik berterusan di rantau tersebut.

Laporan oleh Ekonomi Pelancongan memberi amaran ketibaan pelancong ke Asia Barat boleh merosot antara 11 dengan 27 peratus pada 2026.

Pengarah ramalan sejagat, Cik Helen McDermott, bersama pakar ekonomi kanan, Cik Jessie Smith, berkata konflik itu boleh menyebabkan kehilangan sehingga 38 juta pelawat antarabangsa.

“Kami menganggarkan penurunan ketara dalam ketibaan pelancong, dengan kerugian perbelanjaan mencecah antara AS$34 bilion ($43.7 bilion) dengan AS$56 bilion,” tambah laporan itu.

Gangguan penerbangan, pembatalan laluan serta ketidaktentuan keselamatan turut menjejas perjalanan pelawat antarabangsa ke rantau tersebut. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg