Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi mahu pelbagai sumber pendapatan, kurang bergantung pada minyak

Dec 24, 2015 | 8:23 AM
Gambar yang diedar Saudi Press Agency (SPA) pada 23 Disember menunjukkan Raja Salman (tengah) dan para menterinya tiba untuk merasmikan Majlis Syura di Riyadh. Gambar AFP
Gambar yang diedar Saudi Press Agency (SPA) pada 23 Disember menunjukkan Raja Salman (tengah) dan para menterinya tiba untuk merasmikan Majlis Syura di Riyadh. Gambar AFP -

RIYADH: Raja Salman berkata pada Rabu (23 Dis) beliau telah mengarahkan pembaharuan ekonomi untuk mempelbagai sumber pendapatan Arab Saudi dan mengurangkan pergantungan tinggi negara itu pada minyak, berikutan penurunan mendadak harga minyak mentah.

"Wawasan kami bagi reformasi ekonomi ialah meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam, menggunakan sumber-sumber ekonomi dan meningkatkan pulangan daripada pelaburan negara," kata beliau dalam ucapannya kepada Majlis Syura.

"Saya telah mengarahkan Majlis Ekonomi dan Ehwal Pembangunan merangka rancangan, dasar dan program untuk mencapai itu," katanya kepada badan perundingan itu, tanpa mengulas lanjut.

Pendapatan minyak membentuk lebih daripada 90 peratus pendapatan awam di Arab Saudi.

Pengeksport minyak terbesar di dunia itu sedang menghadapi krisis bajet yang belum pernah berlaku sebelum ini kerana harga minyak telah berkurangan lebih 60 peratus sejak pertengahan 2014.

Pada tengah hari Rabu, penanda aras minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran bulan Februari berharga AS$36.50 setong, hampir pada harga paling rendah dalam masa 11 tahun.

Raja Salman berkata Arab Saudi menjalankan bilangan besar projek infrastruktur mega dan meningkatkan rizab fiskal dalam beberapa tahun lalu apabila harga minyak tinggi.

Saiz penampan fiskal itu membolehkan negara itu mengatasi kesan daripada penurunan mendadak hasil minyak, kata beliau, sambil menambah bahawa projek pembangunan tidak terjejas oleh kejatuhan harga minyak.

Arab Saudi diunjur mencatat defisit bajet rekod kira-kira AS$ 130 bilion ($180 bilion) tahun ini, kata Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ia telah menasihatkan Riyadh supaya melaksana pembaharuan, termasuk memperluas hasil bukan minyak, sambil memberi amaran bahawa kegagalan melakukan itu akan mengurangkan rizab asingnya.

Pada akhir Oktober, rizab Arab Saudi berkurangan kepada AS$644 bilion daripada AS$732 bilion pada akhir tahun lalu.

Pada 2014, negara itu mencatat defisit bajet sebanyak AS$17.5 bilion. Ia hanya kali kedua sejak 2002 negara itu mengalami defisit bajet. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg