Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi perkenal pakej haji menyeluruh bagi jemaah luar negara mulai 2027
Saudi perkenal pakej haji menyeluruh bagi jemaah luar negara mulai 2027
RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memperkenalkan pakej haji menyeluruh bagi jemaah luar negara untuk musim haji 2027, yang menggabungkan semua perkhidmatan utama menerusi satu kontrak elektronik bagi memudahkan urusan perjalanan dan pelaksanaan ibadah haji.
Inisiatif itu membolehkan pejabat urusan haji dan agensi pengendali dari luar negara menguruskan keperluan jemaah, bermula daripada ketibaan mereka di Arab Saudi sehingga berlepas pulang, melalui satu sistem bersepadu.
Menurut kementerian itu, pakej berkenaan merangkumi empat perkhidmatan utama, iaitu kemudahan di kawasan Tanah Suci, penginapan di Makkah dan Madinah, pengangkutan serta penyediaan makanan.
Agensi pengendali turut diberikan pilihan untuk menambah perkhidmatan sampingan bagi memenuhi keperluan dan pilihan kumpulan jemaah yang berbeza.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada persiapan awal Arab Saudi bagi musim haji 1448 Hijrah, selaras dengan usaha negara itu meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah antarabangsa.
Kementerian menjelaskan bahawa semua urusan kontrak akan dilaksanakan menerusi platform elektronik Al-Masar, yang membolehkan agensi mengemukakan satu permohonan bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan.
Sistem itu bertujuan memudahkan proses pentadbiran serta menyelaraskan hubungan kontrak antara pejabat urusan haji, agensi pengendali luar negara dengan syarikat penyedia perkhidmatan.
Selain mengurangkan kerumitan prosedur, penggunaan kontrak elektronik dijangka meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam urusan penyediaan pakej haji.
Melalui sistem tersebut, agensi boleh merangka pakej berdasarkan keperluan jemaah masing-masing, termasuk memilih kemudahan penginapan, pengangkutan dan sajian makanan yang bersesuaian.
Kementerian turut menyediakan pilihan perkhidmatan tambahan yang boleh dimasukkan ke dalam pakej asas bagi meningkatkan keselesaan serta pengalaman jemaah sepanjang berada di tanah suci.
Pendekatan itu memberikan lebih banyak kelonggaran kepada agensi luar negara untuk menyediakan program haji mengikut keperluan dan pilihan jemaah, tanpa perlu menguruskan setiap perkhidmatan melalui proses kontrak yang berasingan.
Inisiatif berkenaan turut menyokong usaha Arab Saudi mempercepat pendigitalan pengurusan haji menerusi Wawasan Saudi 2030 dan Program Pengalaman Jemaah Haji, yang bertujuan meningkatkan kecekapan operasi serta mutu perkhidmatan kepada jemaah.
Sebagai sebahagian daripada persiapan awal musim haji 2027, kementerian itu sudah mengadakan pertemuan dengan pejabat urusan haji yang mewakili lebih 75 negara bagi membincangkan rancangan operasi, peraturan dan keperluan pengurusan jemaah.
Musim haji 2027 dijangka berlangsung dari 14 hingga 19 Mei, dengan hari wuquf di Arafah dijangka jatuh pada 15 Mei.
Bagaimanapun, tarikh muktamad masih tertakluk pada penetapan rasmi kalendar Islam berdasarkan cerapan anak bulan Zulhijah. – Agensi berita.