JEDDAH: Pihak berkuasa Arab Saudi telah memperkenalkan skim visa ketibaan baru untuk umrah yang membolehkan jemaah yang tiba menerusi pelabuhan, udara atau darat, tinggal selama 90 hari di negara itu.
Visa berkenaan bukan sahaja memudahkan perjalanan rohani bahkan juga memupuk hubungan kekeluargaan dan pengalaman melancong ke tempat-tempat menarik dan bersejarah di Arab Saudi.
Menurut Arabian Business, pelawat kini boleh juga bersatu semula dengan orang tersayang yang menetap di Arab Saudi dan menerokai kekayaan warisan negara itu.
Untuk memanfaatkan peluang ini, pelawat yang layak perlu membayar AS$117 ($160) bagi visa yang termasuk perlindungan insurans kesihatan.
Menurut Arabian Business lagi, pelawat dari Amerika Syarikat, United Kingdom, pelbagai negara Eropah, Australia, New Zealand, Singapura, Malaysia, Korea Selatan, Jepun, Kazakhstan, Brunei dan China kini boleh mendapatkan visa umrah semasa tiba di negara itu.
Bagi memudahkan urusan pelawat, Arab Saudi telah memperkemaskan proses permohonan visa ketibaan umrah melalui laman web eVisa rasminya.
Laman web ini menawarkan maklumat menyeluruh mengenai prosedur dan peraturan visa, sekali gus mengelak kerumitan yang mungkin dialami para pelawat.
Selain itu, pelawat juga amat digalakkan untuk terus mendapat maklumat tentang perjalanan terkini dan kemas kini kesihatan yang penting untuk kemasukan ke Arab Saudi.
Sebelum ini, media Saudi memetik Menteri Pelancongan, Encik Ahmed Al Khateeb, sebagai menyatakan bahawa peningkatan pengalaman pelawat adalah nadi masa depan sektor pelancongan negaranya.
“Dengan memanfaatkan inovasi digital dan memperkemas perjalanan pelawat, Arab Saudi mengalu-alukan lebih ramai pelawat dari seluruh pelosok dunia,” tambahnya.
Menteri itu menambah: “Pelancongan merapatkan budaya dan menghubungkan masyarakat. Ia menyediakan peluang dan meningkatkan kawasan kejiranan dan saya berbangga untuk memimpin kementerian semasa kita membina masa depan ini bersama-sama.”
Dalam pada itu, bilangan jemaah umrah yang memilih untuk lakukan sendiri (DIY) ibadah tersebut dijangka bertambah pada tahun-tahun mendatang.
Ini didorong fleksibiliti jadual dan proses permohonan visa dalam talian yang lebih mudah, bergantung kepada pasport kewarganegaraan.
Ini selaras dengan langkah kerajaan Arab Saudi sejak kebelakangan ini yang membuka pintu pelancongan dan bergerak ke arah pendigitalan lantas memudahkan kemasukan ke negara itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg