RIYADH: Sambutan perayaan Halloween turut dianjurkan di Arab Saudi untuk julung-julung kalinya tahun ini, sebagai sebahagian langkah kerajaan yang mahu melaksanakan pembaharuan sosial yang bertujuan memodenkan negara di bawah pemerintah Putera Mahkota Mohammed Bin Salman.
Digelar sebagai "Hujung Minggu Menakutkan" dan berlangsung di Riyadh Boulevard, bandar Riyadh, peserta dilihat bergembira memakai kostum serta solekan atau topeng yang menakutkan dan pakaian bertema seram dengan gambar-gambar mereka yang menyertai perayaan itu dikongsi secara meluas di media sosial pada hujung minggu.
Acara itu diadakan sebagai sebahagian daripada Musim Riyadh yang sedang berlangsung di ibu negara Saudi itu.
Bagaimanapun, perayaan di negara yang sejak dulu dikenali dengan pendekatan sosial yang cukup konservatif, telah mendapat kritikan daripada ramai pengguna media sosial, terutama di kalangan orang Islam dari merata dunia kerana membenarkan perayaan yang pernah diharamkan di kerajaan itu.
Laman Arab News melaporkan, walaupun Halloween telah lama diketepikan di seluruh Teluk, para hadirin di acara itu menggambarkan majlis itu sebagai satu bentuk hiburan yang tidak berbahaya.
"Ia adalah sambutan yang hebat, secara jujur, dan ada semangat kegembiraan... Dari segi haram atau halal, saya tidak tahu mengenainya. Kami meraikannya hanya untuk keseronokan dan tidak ada yang lain. Kami tidak percaya apa-apa," kata salah seorang peserta perayaan itu, Encik Khaled Alharbi yang ditemui Arab News.
Beliau datang dengan kostum "hantu doktor" dengan pakaian seperti seorang perawat dan dipenuh warna merah seperti darah.
Manakala seorang lagi menjelaskan: "Tindakan adalah berdasarkan niat. Saya di sini hanya untuk berseronok." - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg