LONDON: Arab Saudi akan melanjutkan pemotongan pengeluaran minyak sepihak selama sebulan, kekal menutup bekalan walaupun pasaran dijangka menghadapi tekanan.
Sekutunya dari Russia, Opec+ juga mengumumkan sekatan baru terhadap eksport.
Pengurangan pengeluaran Saudi sebanyak 1 juta tong sehari yang bermula bulan ini – yang timbul sebagai tambahan kepada sekatan sedia ada yang dipersetujui oleh Opec+ – akan berterusan hingga Ogos dan boleh dilanjutkan lagi, menurut kenyataan yang diterbitkan oleh Agensi Akhbar Saudi yang dikendalikan kerajaan.
Pemotongan itu akan menjadikan pengeluaran kerajaan itu kepada kira-kira 9 juta tong sehari, paras terendah dalam beberapa tahun, mengorbankan jumlah jualan untuk apa yang setakat ini merupakan ganjaran kecil dari segi harga yang lebih tinggi.
Harga minyak melonjak, dengan minyak mentah Brent meningkat 1.3 peratus kepada AS$76.39 ($103.18) setong setakat 10.34 pagi di London.
Usaha Saudi akan dibantu oleh Russia, yang akan mengurangkan eksport minyak sebanyak 500,000 tong sehari pada Ogos, kata Timbalan Perdana Menteri Alexander Novak, dalam komen yang diterbitkan oleh perkhidmatan akhbarnya.
Namun, Moscow telah secara sengaja menangguhkan pengurangan yang dipersetujui dengan Opec+ setakat tahun ini.
Permintaan yang lemah di China telah mengehadkan minyak mentah hampir AS$75 setong, di bawah paras yang diperlukan oleh Arab Saudi untuk menampung belanjawannya.
Oleh itu, lanjutan pemotongan kerajaan itu tidak mengejutkan, dengan hampir semua pedagang dan penganalisis yang ditinjau oleh Bloomberg meramalkan keputusan tersebut.
Harga minyak secara meluas dijangka meningkat tahun ini, tetapi sebaliknya merosot kerana kebimbangan tentang kekuatan ekonomi apabila kadar faedah meningkat. Bekalan masih dijangka hadapi tekanan pada separuh kedua, tetapi peramal Wall Street termasuk Goldman Sachs Group dan Morgan Stanley telah meninggalkan unjuran untuk minyak mentah kembali AS$100 setong.
Negara-negara pengguna seperti Amerika Syarikat telah menyelar Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya kerana dasar mereka menyekat bekalan, menuduh kartel itu memburukkan lagi inflasi dan membahayakan pemulihan ekonomi yang rapuh.
Agensi Tenaga Antarabangsa telah mengecam kumpulan itu kerana “mengepung” pengguna yang lemah. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg